Langkah kecil, impian besar PTPTN

Langkah kecil, impian besar PTPTN

am@hmetro.com.my ​

Tasek Gelugor: Seramai 200 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan kelengkapan sekolah menerusi Program Titipan Kasih Back To School bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Harian Metro.

  Pelajar berkenaan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya, SK Pokok Tapang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti dan SMK Tasek Gelugor. 

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) perbadanan itu dijalankan secara berterusan bagi memastikan tiada masyarakat tercicir daripada arus pendidikan akibat masalah kewangan.

  Katanya, menerusi program itu pelajar menerima bantuan set pakaian serta beg berjumlah RM43,600 sumbangan daripada PTPTN.

“Bagi memastikan bantuan yang diberi dinikmati golongan sasar, program ini turut membabitkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam persediaan sesi persekolahan baharu di samping menyemai kesedaran mengenai kepentingan perancangan dan simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak,” katanya ketika ditemui di Dewan Dahlia Midtown Perda, Khamis lalu.

  Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Program Titipan Kasih Harian Metro Husain Jahit; Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Berangan Datuk Omar Abdul Hamid;

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohamad Zawawi Ahmad; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

  Norliza berkata, PTPTN juga mewujudkan instrumen simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime sebagai platform terbaik bagi menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan untuk tujuan pendidikan tinggi.

“Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful percuma kepada pendeposit bagi simpanan RM1,000 ke atas.

“Juga Geran Sepadan berjumlah sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan dijamin kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Husain berkata, kerjasama bagi tahun ketiga itu bukti keprihatinan berterusan Media Prima dan Harian Metro dalam memperkasa pendidikan komuniti setempat.

“Di sebalik keterujaan anak-anak, ada ibu bapa menghitung perbelanjaan dan berkira-kira dengan belanja yang perlu dikeluarkan lebih-lebih lagi bagi mereka yang memiliki lebih daripada seorang anak.

“Jadi, kehadiran kami bukan sekadar beri sumbangan, tetapi membawa harapan supaya pelajar ini melangkah ke sekolah dengan senyuman dan semangat baharu.

“Sebagai kejutan istimewa, Media Prima Bhd berbesar hati mengumumkan sumbangan tambahan berjumlah RM20,000 dalam bentuk Simpan SSPN Prime yang mana setiap pelajar menerima sebanyak RM100,” katanya.

Menurut Husain, daripada sumbangan kotak rezeki, bantuan bencana alam sehingga kepada pemerkasaan pendidikan, program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) sentiasa berusaha menyentuh hati golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

“Seterusnya TKHM akan bergerak ke lima lokasi iaitu Kuantan dan Pekan di Pahang, Pasir Mas dan Tumpat di Kelantan serta Terengganu bagi memberi sumbangan kepada mangsa banjir di sana.

“TKHM menjadi ‘jantung’ kepada CSR kami sejak 2007 dan pengiktirafan sebagai Company of The Year pada Anugerah CSR Malaysia 2023 serta kejayaan Harian Metro merangkul Media of The Year di Sustainability & CSR Award 2025 menjadi bukti iltizam kami dalam memperjuangkan nasib rakyat,” katanya.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) prihatin membantu meneruskan impian pendidikan keluarga asnaf/B40 dengan mengadakan pelbagai kerjasama strategik dalam memastikan agenda pendidikan negara dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi menjamin kelangsungan pendidikan anak Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top