Rasuah kuota haji: Bekas menteri Indonesia dinamakan suspek, anggaran kerugian RM242 juta

Rasuah kuota haji: Bekas menteri Indonesia dinamakan suspek, anggaran kerugian RM242 juta

Jakarta: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia menamakan bekas Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas dan bekas kakitangan khasnya, Ishfah Abidal Aziz, sebagai suspek kes rasuah pengagihan kuota tambahan haji 2024, lapor Jakarta Globe.

Jurucakap KPK, Budi Prasetyo berkata, surat pengumuman suspek sudah disampaikan secara rasmi dan langkah soal siasat selanjutnya termasuk kemungkinan penahanan akan diumumkan kemudian.

Kes itu membabitkan pengagihan tambahan 20,000 kuota haji yang diberikan Arab Saudi kepada Indonesia selepas usaha diplomatik bekas Presiden Jokowi Widodo.

Kuota tambahan itu bertujuan mengurangkan senarai menunggu haji biasa yang boleh mencecah lebih 20 tahun di beberapa wilayah.

Sebelum kuota tambahan, jumlah jemaah haji Indonesia ialah 221,000 orang dan meningkat kepada 241,000 selepas pengagihan baru.

Bagaimanapun, penyiasat mendakwa tambahan kuota itu dibahagikan sama rata iaitu 10,000 untuk haji biasa dan 10,000 untuk haji khusus, bukannya memberi keutamaan kepada haji biasa.

Dasar itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa melanggar Undang-Undang No 8/2019 mengenai Pengurusan Haji dan Umrah yang mengehadkan kuota haji khusus maksimum lapan peratus daripada jumlah nasional.

Indonesia memperuntukkan 213,320 tempat untuk haji biasa dan 27,680 untuk haji khusus pada 2024, melebihi had sah dan merugikan sekurang-kurangnya 8,400 jemaah haji biasa yang menunggu lama.

Dalam pada itu, KPK menganggarkan kerugian awal negara daripada skim itu sekitar 1 trilion rupiah (kira-kira RM242.8 juta) dan merampas aset termasuk hartanah, kenderaan mewah dan wang tunai dalam mata wang asing.

Susulan itu, suruhanjaya mengesyaki wujud kerjasama haram antara pegawai Kementerian Agama dan pengendali perjalanan haji yang disahkan melalui Keputusan Menteri No 130/2024 bagi membahagikan kuota tambahan 50 peratus sama rata (50:50).

Penyiasat turut meneliti kemungkinan aliran kewangan haram berkaitan keputusan itu.

Yaqut melalui peguamnya berkata, beliau menghormati proses undang-undang dan akan terus bekerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Kedua-dua Yaqut dan Ishfah didakwa di bawah Artikel 2 dan 3 Undang-Undang Anti-Rasuah Indonesia kerana penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan kerugian negara, manakala siasatan KPK masih berterusan dan mungkin diperluas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top