Belanjawan 2027: HRD Corp manfaat RM3 bilion dana sedia latihan pekerja

Belanjawan 2027: HRD Corp manfaat RM3 bilion dana sedia  latihan pekerja

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak RM3 bilion dana levi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan dimanfaatkan bagi menyediakan tiga juta peluang latihan untuk tenaga kerja tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shamir Aziz berkata,

inisiatif di bawah Belanjawan 2027 itu memberi tumpuan khusus kepada pensijilan profesional serta peningkatan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa.

Katanya, langkah berkenaan turut menyokong aspirasi negara di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi merealisasikan sasaran 35 peratus pekerja mahir menjelang 2030, seiring peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai tinggi.

Katanya, penekanan modal insan dalam Belanjawan 2027 mencerminkan kepentingan usaha memperkukuh kemahiran tenaga kerja negara dalam menghadapi perubahan ekonomi.

“Sebagai agensi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), HRD Corp akan terus memberi tumpuan kepada latihan relevan dengan keperluan industri, pensijilan profesional yang diiktiraf serta pemanfaatan dana levi secara strategik agar pelaburan majikan memberi nilai bermakna kepada pekerja serta perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, usaha meningkatkan kemahiran dan menyediakan latihan semula perlu terus diperluas kepada semua lapisan masyarakat bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta kemajuan kerjaya.

Bagi majikan, caruman levi yang disalurkan akan menyokong pembangunan kemahiran untuk meningkatkan keupayaan dan produktiviti tenaga kerja.

Bagi pekerja pula, akses latihan berasaskan keperluan industri dan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) berupaya menyokong kemajuan kerjaya secara berterusan.

Selain itu, katanya seiring usaha memperkukuh ekonomi penjagaan, sebanyak RM40 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif Kemahiran MADANI Penjaga Profesional yang dijangka memanfaatkan sehingga 8,000 peserta.

Inisiatif di bawah naungan (KESUMA) itu merangkumi latihan penjagaan warga emas, bayi, anak-anak, Orang Kurang Upaya (OKU) serta penjagaan selepas bersalin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top