Proses pemulihan Tun M dijangka panjang atas faktor usia

Proses pemulihan Tun M dijangka panjang atas faktor usia

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Proses pemulihan Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka berlaku dalam tempoh agak lama selepas mengambil kira faktor usia bekas Perdana Menteri itu.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar kepada Dr Mahathir, Sufi Yusoff, dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Dr Mahathir akan menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan dengan keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan doktor pakar Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dr Mahathir masih meneruskan rawatan di IJN bagi pemulihan tulang pinggul patah akibat jatuh di kediamannya di The Mines, Serdang, Selasa lalu.

“Dr Mahathir dan keluarga juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.

“Buat masa ini juga, Dr Mahathir tidak dibenarkan menerima pelawat, kecuali keluarga terdekat,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN oleh ambulans dan dilaporkan dalam keadaan sedar selepas terjatuh di kediamannya, Selasa lalu.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional dan BERSATU itu terjatuh ketika bergerak dari satu bahagian di balkoni untuk ke ruang tamu.

Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu pernah dirawat di IJN akibat keletihan pada 13 Julai lalu, dan dibenarkan keluar pada hari sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top