Laporan nahas tren LRT dibuat secara telus

Laporan nahas tren LRT dibuat secara telus

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin laporan nahas membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) yang berlaku malam kelmarin, dibuat secara telus berikutan jawatan kuasa pasukan khas itu turut dianggotai lima pakar dari luar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, berkata tiada perkara akan disembunyikan dalam laporan itu, malah kerajaan memberi jaminan akan menambah baik sistem pengangkutan awam negara.

Beliau berkata, jawatan kuasa khas diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak itu turut dianggotai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOT, Normah Osman sebagai Timbalan Pengerusi.

Katanya, ahli jawatankuasa lain ialah Setiausaha Bahagian Darat MOT, Wan Mohd Asraf Wan Saleh; Penasihat Undang-Undang MOT, Azlin Sabtu dan Ketua Pengarah Keretapi Bahagian Darat MOT , Mohd Shahriman Shafein pula dilantik sebagai sekretariat.

“Lima pakar dari luar pula membabitkan bekas Ketua Bahagian Rel Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Yuslizar Daud; Pengurus Isyarat Penyelenggaraan Sokongan ERL Maintenance and Services Sdn Bhd, Anthony Arokianathan dan tokoh akademik, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Wong Shaw Voon.

“Dua yang lain ialah Penyelidik Kanan Institut Kejuruteraan Integrasi, Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICOE-REL), Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid dan Ketua Inspektor Kemalangan Udara, Biro Siasatan Kemalangan Udara MOT, Brig Jen Izani Ismail,” katanya ketika siaran langsung BERNAMA TV berhubung perkembangan terkini pertembungan Tren LRT, hari ini.

Ka Siong berkata, hasil siasatan awal Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mendapati nahas itu disebabkan kecuaian manusia.

Beliau berkata, pengendali atau ‘hostler’ tren TR40 ketika itu tidak membawa penumpang, namun dia memandu tren dengan arah bertentangan.

“Tren terbabit mengalami masalah time-out dan berhenti ketika menghampiri platform stesen Kampung Baru, kegagalan TR40 disebabkan tren gagal beroperasi secara automatik memandangkan Vehicle On Board Controller (VOBC) terhenti.

“Justeru kita terpaksa mengerahkan pemandu (hostler) memandu tren berkenaan untuk dibawa ke depoh, namun difahamkan berlaku kesilapan atau kecuaian pemandu yang membawa ke arah bertentangan.

“Ini menyebabkan ia bertembung dengan tren (TR81) yang membawa penumpang dan mengakibatkan momentumnya lebih kuat biarpun kelajuan tren tidak tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Prasarana Berhad sudah membuat laporan polis bagi menyiasat spekulasi mengaitkan kemalangan itu mempunyai kaitan usaha pihak penggodam dari negara luar yang didakwa berkait konflik Palestin ketika ini.

“Jadi, polis akan siasat dari semua sudut dan setakat ini, saya tidak boleh katakan apa-apa berkenaan rumusan siasatan, tetapi elemen jenayah ini biar polis siasat.

“Kementerian Pengangkutan akan menyiasat dari segi teknikal, kawal selia, polisi dan bagaimana mahu menambah baik kerana sistem pengangkutan awam sangat penting khususnya perkhidmatan rel untuk warga kota.

“Kita akan menjadikan insiden itu sebagai iktibar, malah semua projek bakal dibina akan dipertingkatkan keselamatannya,” katanya.

Semalam, Ka Siong turut memaklumkan beliau mengadakan webiner dengan Menteri Pengangkutan United Kingdom yang membincangkan mengenai rel berkelajuan tinggi, merangkumi standard, reka bentuk, pengoperasian dan sistem berikutan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dibina sejak zaman penjajahan British.

“Saya sudah mengarahkan ICOE-REL mengadakan kerjasama dan mendengar penerangan lanjutan berkaitan rel dengan negara terbabit,” katanya.

Katanya, Prasarana juga mempunyai perlindungan insurans dan akan disemak, manakala mangsa dirawat pula akan diberikan khidmat bantuan khususnya memulihkan trauma mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top