firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) sentiasa membuka pintu buat mana-mana pemain berstatus warisan yang beraksi di luar negara bagi memperkuatkan pasukan menjelang musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SFC, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan, pihak pengurusan sentiasa bersikap terbuka termasuk terhadap pemain naturalisasi dan pemain tempatan terbaik yang mampu menyarung jersi Red Giants.
Menurutnya, segala keputusan kemasukan pemain baharu tetap bergantung kepada penilaian ketua jurulatih, Kim Pan-gon (KPG) yang lebih memahami keperluan taktikal pasukan.
“Kita sentiasa terbuka untuk mana-mana pemain masuk ke Selangor asalkan pemain itu menepati cita rasa jurulatih KPG.
“Asalkan jurulatih KPG merasakan dapat membantu Selangor mencapai sasaran musim hadapan, sudah tentu kita akan terbuka. Pemain tempatan, import, warisan dan naturalisasi, walau apa pun status mereka, kami sentiasa terbuka,” katanya kepada Arena Metro.
Dalam masa sama, Johan tidak menafikan trend kemunculan pemain warisan di luar negara kini semakin mendapat perhatian termasuk beberapa nama seperti pemain sayap skuad Harimau Malaya, Richard Chin yang kini beraksi bersama kelab Scotland, Raith Rovers.
Baru-baru ini, Richard membanggakan negara apabila berjaya membantu Raith Rovers menjuarai Scottish Challenge Cup dengan menundukkan Inverness Caledonian Thistle 4-1 pada aksi final, sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan kelab berkenaan sejak tahun 2022.
Malah Johan melihat kehadiran pemain kategori itu mampu memberi nilai tambah kepada pasukan sekiranya memenuhi kehendak taktikal dan kualiti yang diperlukan.
Bagaimanapun, Johan menjelaskan fokus utama ketika ini masih terarah kepada baki saingan musim semasa yang disifatkan cukup mencabar buat skuad Red Giants.
“Tapi buat masa ini kami belum mulakan lagi persiapan tahun depan kerana ada perlawanan besar menanti dalam beberapa minggu ini.
“Tiga hingga empat minggu terakhir ini akan menentukan sama ada musim ini dianggap berjaya atau sebaliknya, jadi jurulatih KPG kini 100 peratus fokus ke arah itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan perancangan jangka panjang tetap berjalan seperti biasa dengan pengurusan bersedia memenuhi keperluan pasukan berdasarkan kehendak jurulatih bagi menghadapi musim baharu nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




