suliati@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Bega Group menyasarkan pertumbuhan jualan melebihi lima peratus tahun ini, disokong peningkatan permintaan terhadap produk tenusu serta pelancaran rangkaian baharu Bega Shredded Cheese bagi memperluas penembusan pasaran tempatan.
Pengarah Urusan Lucky Frozen, See Quin Seng berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berikutan trend penggunaan keju yang terus berkembang dalam pelbagai segmen makanan selain permintaan kukuh daripada sektor peruncitan dan perkhidmatan makanan.
“Jika mengambil kira pertumbuhan ekonomi negara sekitar lima peratus, sasaran kami adalah lebih tinggi daripada itu dan pengenalan produk baharu ini dijangka turut menyumbang kepada peningkatan jualan keseluruhan.
“Selain itu, permintaan terhadap keju semakin meningkat kerana pengguna melihatnya sebagai makanan berkhasiat yang kaya dengan kalsium serta mempunyai kepelbagaian yang sangat luas dalam penyediaan makanan,” katanya kepada selepas pelancaran Bega Shredded Cheese di sini, baru-baru ini.
Rangkaian baharu itu merangkumi tiga variasi iaitu Mozzarella, Cheddar dan Cheese Melt yang dilancarkan menerusi Berri Asia Sdn Bhd, entiti Bega Group di Malaysia.
Menurutnya, trend penggunaan keju di Malaysia kini tidak lagi terhad kepada makanan Barat seperti piza dan pasta, sebaliknya semakin meluas dalam hidangan Asia termasuk makanan Korea, masakan tempatan dan produk bakeri.
“Pengguna Malaysia sangat kreatif, hari ini keju digunakan dalam pelbagai hidangan termasuk nasi, roti, mi segera dan makanan fusion lain.
“Perkembangan ini menyokong pertumbuhan penggunaan keju dan produk tenusu secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Jualan Asia Tenggara Bega Group, Samantha Loke berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran strategik bagi syarikat berikutan perkembangan pesat industri makanan dan minuman serta budaya kulinari yang dinamik.
Katanya, pelancaran produk baharu itu bertujuan memenuhi permintaan pengguna dan pengusaha makanan yang mahukan penyelesaian keju berkualiti tinggi, konsisten dan mudah digunakan.
Ketika ini, rangkaian produk Bega boleh didapati di 376 outlet peruncitan membabitkan 17 rangkaian peruncit di seluruh negara, selain diedarkan menerusi saluran pemborong, kedai bahan bakeri dan sektor perkhidmatan makanan.
Menurutnya, syarikat juga merancang memperluas rangkaian pengedaran bagi membolehkan lebih ramai pengguna dan usahawan kecil mendapatkan produk berkenaan pada harga berpatutan.
“Kami bukan sahaja membekalkan kepada pengusaha restoran dan syarikat makanan, malah turut menyokong usahawan bakeri kecil serta peniaga dari rumah melalui rangkaian pengedaran sedia ada,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Bega Group menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records selepas berjaya menghasilkan formasi Largest Oven Baked Cheese Melt Sandwich Formation menerusi kerjasama dengan perusahaan sosial Silent Teddies.
Samantha berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi usaha memperkukuh pembabitan komuniti serta mengurangkan pembaziran makanan.
Menurutnya, pencapaian berkenaan bukan sahaja meraikan kecemerlangan kulinari, malah membuka peluang kerjasama lebih luas dengan perusahaan sosial dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada masa depan.
Bega yang mempunyai lebih 125 tahun pengalaman dalam industri tenusu Australia dan menjalin kerjasama di Malaysia selama lebih tiga dekad berkata, syarikat akan terus memperkenalkan produk baharu bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan yang semakin berkembang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




