BAM perlukan dana RM55 juta setahun

BAM perlukan dana RM55 juta setahun

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memerlukan peruntukan sekitar RM55 juta setahun bagi memastikan kelangsungan operasi dan pembangunan prestasi atlet negara, dengan kos dijangka terus meningkat selari perancangan jangka panjang badan induk itu.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perbelanjaan keseluruhan sehingga akhir November lalu mencecah hampir RM54 juta, merangkumi kos pengurusan atlet dan jurulatih, penyertaan kejohanan serta penganjuran pertandingan.

“Untuk mengekalkan operasi, BAM memerlukan sekitar RM55 juta setahun. Namun jumlah itu dijangka meningkat kerana kita mempunyai banyak perancangan baharu, termasuk program pembangunan dan persiapan kejohanan utama,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Axiata Arena, hari ini.

Menurutnya, dua komponen perbelanjaan terbesar BAM adalah membabitkan imbuhan atlet dan jurulatih serta kos penyertaan kejohanan antarabangsa, selain perbelanjaan tinggi bagi penganjuran kejohanan bertaraf dunia yang turut memberi pulangan dari segi penjenamaan dan hasil komersial.

Dalam usaha memastikan kelestarian kewangan, Tengku Zafrul menegaskan BAM memberi tumpuan kepada peningkatan hasil menerusi penjenamaan dan pemasaran, di samping mengakui sokongan kerajaan masih menjadi antara penyumbang penting kepada pendapatan persatuan.

“Akaun belum tutup tapi setakat ini, perbelanjaan BAM bagi 11 bulan pertama melebihi RM50 juta, termasuk sumbangan kerajaan sekitar RM5.5 juta.

“BAM masih memerlukan tambahan hasil kira-kira 20 peratus bagi menampung keperluan semasa, dengan anggaran operasi tahunan mencecah RM55 juta,” katanya.

Selain aspek kewangan, Tengku Zafrul turut menjelaskan perubahan dari segi tadbir urus apabila keputusan berkaitan pelantikan dan pemilihan jurulatih selepas ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Jawatankuasa Prestasi, tanpa campur tangan ahli majlis.

Katanya, pendekatan itu bagi memberi autonomi kepada pihak teknikal untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan prestasi, kepakaran dan penilaian profesional, selari amalan pengurusan sukan moden.

“Majlis akan dimaklumkan, namun keputusan teknikal berada di bawah jawatankuasa berkaitan. Kita percaya kepada kewibawaan pengarah kejurulatihan dan jawatankuasa prestasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan BAM juga sedang menilai semula struktur imbuhan jurulatih tempatan berdasarkan prestasi dan kriteria ditetapkan, dengan keputusan akhir akan dimuktamadkan kemudian.

Mengulas isu ketelusan, Tengku Zafrul menegaskan BAM komited ke arah pendekatan lebih terbuka dalam urusan kontrak pemain pada masa depan, selain menegaskan semua wang kemenangan kejohanan disalurkan sepenuhnya kepada atlet tanpa sebarang potongan oleh persatuan.

Sementara itu, BAM turut bersetuju secara prinsip untuk menambah baik kebajikan pemain remaja, termasuk cadangan menaikkan elaun bulanan sehingga RM1,000 serta menanggung kos tali raket.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top