Peranan Malaysia sangat diperlukan dalam proses damai Bangsamoro – MILF

Peranan Malaysia sangat diperlukan dalam proses damai Bangsamoro – MILF

Kuala Lumpur: Peranan Malaysia sebagai fasilitator amat diperlukan dalam proses damai Bangsamoro dan negara ini perlu meneruskan penglibatannya, kata Pengerusi Panel Pelaksana Damai Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Mohagher Iqbal.

Beliau berkata, MILF dan kerajaan Filipina mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap sikap tidak memihak Malaysia dalam proses damai itu.

“Peranan Malaysia sebagai fasilitator amat diperlukan. Malaysia ialah perantara yang jujur dan sejak 2001, negara ini telah bersama-sama kedua-dua pihak dalam proses ini, menangani serta mengatasi pelbagai halangan sepanjang perjalanan,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Iqbal berkata, rekod Malaysia sebagai fasilitator dalam proses damai itu menunjukkan tiada sebab untuk negara ini tidak meneruskan peranan berkenaan.

“Jadi, tiada sebab mengapa Malaysia tidak harus terus menjadi negara fasilitator. Malaysia telah membuktikan keupayaannya,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam perjanjian antara kerajaan Filipina dan MILF, termasuk Perjanjian Rangka Kerja mengenai Bangsamoro dan Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro (CAB).

CAB yang dimeterai pada 2014 membuka jalan kepada penggubalan Undang-Undang Organik Bangsamoro dan penubuhan Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro.

“Berdasarkan rekodnya, saya berpendapat Malaysia perlu dan mesti terus terlibat dalam proses damai kerana kedua-dua pihak, khususnya MILF, mempunyai tahap kepercayaan yang sangat tinggi terhadap sikap tidak memihak Malaysia,” kata Iqbal.

Beliau berkata, Malaysia kekal sebagai faktor penting dalam membawa proses damai itu ke arah penyelesaian muktamad menerusi Perjanjian Penamatan.

“Saya berani mengatakan bahawa tanpa Malaysia sebagai perantara yang jujur, saya tidak fikir kita mampu sampai sejauh ini.

“Malaysia telah bersama-sama dalam proses damai ini sejak 2001 dan kami berharap Malaysia akan terus menjadi fasilitator rundingan ini sehingga Perjanjian Penamatan dimeterai,” katanya.

Terdahulu, Iqbal menghadiri Mesyuarat Khas Panel Pelaksana Damai GPH-MILF mengenai pelaksanaan CAB.

Delegasi kerajaan Filipina diketuai Penasihat Presiden mengenai Keamanan, Rekonsiliasi dan Perpaduan, Setiausaha Mel Senen Sarmiento, manakala Iqbal mengetuai delegasi MILF.

Fasilitator proses damai, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin turut hadir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top