Keadaan Kyoll Hamzah stabil, FDAM tampil hulur sumbangan

Keadaan Kyoll Hamzah stabil, FDAM tampil hulur sumbangan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah filem Memoir Seorang Guru, Kyoll Hamzah yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, kerana cedera akibat terpijak paku berada dalam keadaan stabil.

Setiausaha Agung Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Azmi Jamsari berkata, selepas mendapat rawatan, luka di kaki Kyol atau nama sebenarnya, Hairul Hamzah juga sudah semakin kering.

“Semasa pihak kami melawatnya di hospital petang semalam, Kyoll nampak bersemangat bila bercerita keadaannya. Luka di kakinya itu juga sudah dibuat ‘dressing’ dan semakin kering.

“Namun, difahamkan, dia masih perlu dirawat di Hospital untuk rawatan lanjut,” katanya kepada Harian Metro.

Selain Azmi, sesi lawatan itu turut disertai Timbalan Pengerusi FDAM, Faizal Ariff; Ketua Biro Kebajikan, Eoon Shuhaini dan Setiausaha Kerja, Siti Fairuzah.

Pihak FDAM juga menyampaikan sumbangan mewakili Pengerusinya, Datuk Afdlin Shauki.

Azmi berkata, pihak FDAM juga melancarkan tabung kutipan dan sumbangan itu dimasukkan secara terus ke akaun bank Kyoll bagi urusan lanjut.

“FDAM mengambil inisiatif membuka tabung sumbangan bagi membantu Kyoll yang kini menerima rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak dapat mendedahkan jumlah kutipan dari tabung sumbangan dilancarkan itu,” katanya.

Terdahulu, keadaan kesihatan Kyoll dikongsikan Eoon Shuhaini pada hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) yang memaklumkan FDAM turut melancarkan sumbangan kutipan ikhlas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top