Tommie hidap kanser hati, perlu RM9,000 sebulan untuk kos ubat

Tommie hidap kanser hati, perlu RM9,000 sebulan untuk kos ubat

Kuala Lumpur: Bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Datuk Tommie Tumiran yang disahkan menghidap kanser hati memerlukan kira-kira RM9,000 sebulan bagi membeli ubat-ubatan.

Tommie yang pernah menerajui PKAVM selama dua tahun enggan menjalani rawatan kimoterapi, sebaliknya memilih mengambil ubat secara oral.

“Saya disahkan kanser hati kira-kira empat bulan lalu. Pada mulanya, saya alami sakit perut yang berpanjangan lalu buat pemeriksaan.

“Pada mulanya, doktor sangka saya ada masalah batu hempedu. Apabila pemeriksaan dibuat sekali lagi, rupa-rupanya saya menghidap kanser hati.

“Doktor beri saya dua pilihan sama ada hendak jalani rawatan melalui kaedah kimoterapi atau makan ubat. Saya pilih ambil ubat kerana faktor usia.

“Cuma, harga ubat itu terlalu mahal dan membebankan. Saya terpaksa minta bantuan anak-anak bagi membeli ubat yang perlu diambil setiap hari,” katanya kepada BH Online.

Pada masa sama, Tommie, 73, berasa kesal apabila tiada rakan-rakan atau mana-mana persatuan mewakili pekerja seni bertanya khabar meskipun mengetahui keadaannya.

“Saya sedih kerana ketika berpersatuan, saya bersusah-payah mencari dana membantu ahli yang berdepan masalah kewangan dan kesihatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, apabila tiba giliran saya diduga, tiada rakan-rakan mahupun persatuan yang bertanya khabar.

“Saya ada maklumkan kepada Timbalan Presiden PKAVM, Sandakiah Azez mengenai keadaan kesihatan saya. Dialah satu-satunya yang datang melawat dan bertanya khabar.

“Tetapi, teman lain, tidak hiraukan keadaan saya, jadi saya sangat sedih,” katanya yang menetap bersama anaknya di Bukit Antarabangsa, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top