Medvedev sedia cabar Terbuka Australia

Medvedev sedia cabar Terbuka Australia

Brisbane: Pemain Russia, Daniil Medvedev, memanaskan persiapan ke arah Terbuka Australia dengan sempurna apabila menjuarai Antarabangsa Brisbane selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat, Brandon Nakashima, straight set di pentas final, hari ini.

Medvedev yang juga naib juara Terbuka Australia sebanyak tiga kali tampil dominan untuk menang 6-2, 7-6 (7/1) dalam masa 96 minit di Pat Rafter Arena, sekali gus merangkul gelaran ATP ke-22 dalam kariernya.

Pemain ranking ke-13 dunia itu mematahkan servis Nakashima dua kali pada set pertama sebelum lawannya bangkit memberi tentangan sengit pada set kedua, namun Medvedev kekal tenang untuk mendominasi penentuan ‘tie break’.

“Saya bermula dengan baik, tetapi Brandon kembali memberi tekanan dan hampir memaksa perlawanan ke set ketiga,” kata Medvedev.

Kejayaan itu dianggap tonik terbaik buat Medvedev menjelang Terbuka Australia yang bermula Ahad ini, selepas dia juga pernah mara ke final kejohanan sama pada 2019.

“Ia permulaan tahun yang sangat baik. Saya pernah berkata mahu kembali dan memenangi kejohanan ini. Akhirnya, tujuh atau lapan tahun kemudian, saya berjaya dan sangat gembira dapat menjulang trofi ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top