Manchester: Harapan England di Piala Dunia banyak bergantung kepada penyerang utama mereka, Harry Kane yang juga kapten, tonggak dan sering menjadi watak penting kejohanan besar.
Sejak muncul sebagai penyerang utama England sedekad lalu, Kane sentiasa menjadi sandaran pasukan yang dibebani harapan tinggi, dengan impian mereka semakin bergantung kepada pengaruhnya.
Walaupun skuad England kini dilihat lebih seimbang dengan kehadiran pemain sayap dinamik dan barisan tengah yang berkualiti, hakikatnya tetap sama – jika Kane menyerlah, England mampu pergi jauh. Jika dia gagal beraksi atau tidak berada dalam pasukan, keseluruhan sistem permainan England boleh terjejas.
Kepentingannya bukan sahaja dapat dilihat menerusi statistik, malah dari sudut psikologi.
Kane adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman England dengan 78 gol dalam 112 penampilan, selain menjadi pengambil sepakan penalti utama, titik fokus serangan dan kini semakin berperanan sebagai pencipta peluang apabila kerap turun membantu permainan serta membuka ruang kepada pemain seperti Bukayo Saka.
Dia hadir ke Piala Dunia kali ini dalam prestasi terbaik selepas sekali lagi menjalani musim cemerlang bersama Bayern Munich apabila muncul penjaring terbanyak Bundesliga buat musim ketiga berturut-turut dengan 36 gol.
Di pentas Piala Dunia yang sering ditentukan oleh detik-detik kecil, memiliki penyerang yang bukan sahaja mampu menjaringkan gol tetapi juga mencipta peluang adalah satu kelebihan besar dan Kane memiliki kedua-dua kualiti itu.
Rekodnya di kejohanan utama turut membuktikan perkara itu apabila muncul pemenang Kasut Emas pada Piala Dunia 2018 dan memainkan peranan penting membantu England mara ke final Euro 2024.
Malah ketika England bergelut mempamerkan aksi terbaik, Kane tetap mampu menghasilkan detik penting yang menutup kelemahan pasukan.
Namun, kebergantungan itu juga mempunyai risiko tersendiri.
Pemain berusia 32 tahun itu terlepas aksi persahabatan menentang Jepun pada 31 Mac lalu akibat kecederaan, sekali gus memperlihatkan betapa terdedahnya England tanpa kehadirannya.
Jika situasi sama berlaku di Piala Dunia, pilihan yang ada agak terhad kerana walaupun England memiliki ramai pemain menyerang berkualiti, tiada pengganti yang benar-benar mampu meniru permainan menyeluruh dan ketenangan Kane ketika berdepan tekanan.
Kehilangannya juga akan meninggalkan kekosongan besar dari aspek kepimpinan kerana tidak ramai pemain yang mempunyai pengalaman, pengaruh dan ketenangan seperti dirinya di pentas tertinggi.
Tanpa Kane, England bukan sahaja kehilangan jaringan gol, malah kehilangan watak utama yang menjadi nadi emosi pasukan.
Cabaran buat pengurus Thomas Tuchel adalah memastikan England tidak terlalu bergantung kepada Kane dengan menerapkan lebih banyak fleksibiliti taktikal.
Tanpa Kane, peluang England untuk menamatkan kemarau kejuaraan Piala Dunia sejak 1966 pasti menjadi lebih sukar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




