Kecederaan Bradley cetus kebimbangan

Kecederaan Bradley cetus kebimbangan

Liverpool: Pemain pertahanan kanan Liverpool, Conor Bradley, bakal menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan serius pada lutut ketika aksi seri 0-0 menentang Arsenal, sekali gus menimbulkan kebimbangan sama ada dia mampu kembali beraksi sebelum musim ini berakhir.

Bradley, 22, terjatuh dalam keadaan janggal berhampiran garisan tepi pada masa kecederaan, insiden yang turut mencetuskan kekecohan selepas pemain Arsenal, Gabriel Martinelli, menolaknya keluar padang kerana menyangka pemain itu cuba melengahkan masa.

Pemain Liverpool itu akhirnya dikeluarkan menggunakan pengusung sebelum Martinelli tampil memohon maaf atas tindak balasnya dalam situasi tegang berkenaan.

“Liverpool FC mengesahkan Conor Bradley mengalami kecederaan lutut yang serius,” menurut kenyataan kelab.

“Bradley akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat sebelum memulakan proses pemulihan di Pusat Latihan AXA. Buat masa ini, tiada jangka masa ditetapkan bagi kepulangannya ke padang.”

Laporan media Britain menyatakan kecederaan itu berkemungkinan menamatkan musim Bradley, walaupun dia tidak mengalami koyakan ligamen anterior cruciate (ACL).

Namun, dia dilaporkan mengalami kecederaan pada tulang serta ligamen lutut kiri.

Ini adalah satu lagi tamparan buat pemain muda itu yang sudah terlepas lebih 50 perlawanan sepanjang tiga musim terakhir akibat kecederaan.

Liverpool selepas ini dijadualkan menerima kunjungan Barnsley pada pusingan ketiga Piala FA, Selasa ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top