Isu Pas-Bersatu: Pas Johor minta jentera bertenang, fokus persiapan PRN

Isu Pas-Bersatu: Pas Johor minta jentera bertenang, fokus persiapan PRN
Isu Pas-Bersatu: Pas Johor minta jentera bertenang, fokus persiapan PRN

Mahfodz (gambar kecil) berkata, dalam tempoh ini seluruh jentera Pas perlu terus memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi PRN Johor ke-16.

JOHOR BAHRU – Semua pimpinan, ahli dan jentera Pas di Johor diminta bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung hala tuju kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, mereka diminta bersabar menunggu ketetapan rasmi yang akan diputuskan Jawatankuasa Pas Pusat.

“Pas Johor mengambil maklum mengenai intipati mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas yang menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk menentukan hala tuju kerjasama dengan Bersatu seperti yang dilaporkan pelbagai media.

“Sehubungan itu, seluruh pimpinan, ahli dan jentera Pas Johor diseru agar bertenang, tidak membuat sebarang spekulasi dan bersabar menunggu ketetapan rasmi yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pas Pusat pada 8 Jun 2026,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika tumpuan kini terarah kepada persiapan parti-parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin.

Beliau berkata, dalam tempoh ini seluruh jentera perlu terus memberi tumpuan terhadap persiapan menghadapi PRN Johor ke-16.

Jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, ini termasuk memperkukuhkan gerak kerja parti di semua peringkat.

Mahfodz berkata, Pas Johor akan terus bergerak selaras dengan segala ketetapan dan keputusan rasmi parti.

Beliau menegaskan, Pas Johor kekal komited untuk memperkukuhkan gerak kerja parti serta memastikan seluruh jentera berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

Terdahulu, Pas membuat ketetapan itu susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan parti berkenaan.

Minggu lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat, antara lain dikatakan menerima laporan pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi Bersatu yang dilihat cenderung bersama-sama Team Reset pimpinan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Biro Politik Bersatu kemudian mengingatkan Pas supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti komponen PN berkaitan hal disiplin serta tindakan diambil untuk menstabilkan parti.

 

 

 

Scroll to Top