Musa, Sumayyah antara pilihan nama anak Qi Razali

Musa, Sumayyah antara pilihan nama anak Qi Razali

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Petaling Jaya: “Kalau lelaki, mungkin (namanya) Musa. Kalau perempuan, mungkin Sumayyah.”

Demikian kongsi ringkas pelakon filem Babah, Qi Razali mengenai pilihan nama untuk cahaya mata sulungnya yang dijangka dilahirkan pada penghujung Februari ini.

Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali, 49, berkata dia dan isteri, Wardah Hayati juga masih tertanya-tanya mengenai jantina bayi mereka.

“Kadang-kadang, nampak macam bayi perempuan, kadang-kadang sebaliknya. Tapi, untuk barang keperluan dan pakaian bayi pun, kami beli yang warnanya sesuai dengan mana-mana jantina contohnya putih, coklat dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai persiapannya menjadi seorang bapa, Qi berkata, dia sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal.

“Sekarang, kalau kita tak tidur pun, jam 1 pagi atau 1.30 pagi, kalau mengantuk, boleh saja tidur. Tapi, selepas ini, kalau jam 1.30 pagi, anak menangis atau apa, waktu itulah baru saya akan tahu bagaimana perasaannya.

“Takut memang ada, sebab proses bersalin adalah sesuatu yang menyakitkan untuk seorang isteri. Yang pasti, saya cuma nak pastikan isteri saya dalam keadaan selamat dan bayi kami pun sihat,” katanya.

Qi berkata demikian ketika ditemui di acara pameran fotografi, Selak yang juga pameran pertama jurufoto profesional, Faizal Hussin di Kokopelli, di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top