Operasi SAR nelayan jatuh bot dihentikan

Operasi SAR nelayan jatuh bot dihentikan

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang terjatuh dari bot gentian kaca Khamis lalu, ditamatkan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata pencarian dihentikan selepas tiada tanda penemuan dikesan susulan SAR sejak Khamis lalu.

Beliau berkata, ahli keluarga kepada Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, dari Taman Purnama, Kuala Ibai, sudah dimaklumkan mengenai situasi terkini operasi.

Bagaimanapun, katanya, pemantauan rutin operasi harian akan diteruskan oleh aset Maritim yang beroperasi dalam Op Kuda Laut.

“Pegawai dan anggota Maritim yang menggerakkan Op Kuda Laut diminta untuk terus membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Suffi menjelaskan, Maritim Malaysia sedia menghantar aset ke lokasi kejadian jika ada aduan status terkini termasuk daripada nelayan tempatan yang meneruskan pencarian.

“Kita dimaklumkan operasi pencarian mangsa melalui pesisir pantai diteruskan Jabatan Perikanan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu nelayan tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat, berkata pihaknya meneruskan pencarian dengan dibantu kira-kira 10 nelayan menggunakan bot gentian kaca.

“Pemantauan dan rondaan melalui laluan pantai diteruskan termasuk pegawai serta anggota PDRM,” katanya ketika bersama sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Balai Chendering melakukan rondaan di pelabuhan perikanan Chendering dan pantai Chendering, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top