Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dijangka bincang peletakan jawatan Presiden parti

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dijangka bincang peletakan jawatan Presiden parti

Petaling Jaya: BERSATU mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, malam ini, yang dijangka turut membincangkan mengenai peletakan jawatan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat BERSATU di sini, dihadiri Muhyiddin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ahli MPT.

Selain isu peletakan jawatan Muhyiddin, mesyuarat dijangka membincangkan mengenai krisis politik di Perlis pada Disember lalu, yang mencetuskan konflik antara BERSATU dan PAS.

Pada masa sama, wujud desas desus bahawa kedudukan Hamzah dalam BERSATU akan turut diputuskan malam ini, namun beberapa pemimpin yang ditemui sebelum mesyuarat menafikan dakwaan berkenaan.

Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember lalu, yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu, susulan krisis politik di Perlis.

Tindakan beliau itu disusuli empat Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, termasuk Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang turut meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN.

Selain itu, Pengerusi Badan Perhubungan PN Perak, Datuk Seri Faizal Azumu, Datuk Dr Sahruddin Jamal (Johor) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top