am@hmetro.com.my
Shah Alam: Tiada lagi penternakan babi di Kuala Langat, kaji kuantiti sebenar keperluan babi dan tiada peruntukan kewangan kerajaan negeri untuk operasi penternakan babi di Selangor pada masa depan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tiga ketetapan itu selepas sesi menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan rasmi Istana Selangor, Sultan Sharafuddin sudah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di negeri ini dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.
“Sehubungan itu, baginda memperkenankan dan menetapkan beberapa ketetapan.
“Pertama, baginda menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
“Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan,” demikian kenyataan itu hari ini.
Bagi ketetapan kedua, baginda menitahkan agar satu kajian yang terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Negeri Selangor sahaja.
“Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan itu.
“Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal,” katanya.
Baginda juga menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan.
“Ini termasuklah di kawasan Bukit Tagar. Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
“Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara,” katanya.
- Sultan Selangor tidak perkenan lesen sementara, pemindahan ladang babi ke Bukit Tagar akan disegerakan – EXCO
- Penduduk Kuala Langat lega ladang babi dipindah ke Bukit Tagar
- Penduduk bantah projek ternakan babi berpusat
© New Straits Times Press (M) Bhd




