Lopes bangga bawa nama Cape Verde

Lopes bangga bawa nama Cape Verde

Atlanta: Ireland mungkin tidak layak ke Piala Dunia tetapi negara itu tetap menyambut hangat Cape Verde dalam hati mereka hasil sumbangan pertahanan kelahiran Dublin, Roberto Lopes yang tiba di tanah airnya pada Isnin dengan sambutan mesra dan akan kembali ke skrin televisyen negara itu, dalam masa terdekat.

Cape Verde menjadi salah satu kisah menarik kejohanan apabila memenangi hati peminat bola sepak di seluruh dunia.

Pasukan debutan itu seri dengan Sepanyol dan Uruguay serta mara ke peringkat kalah mati di mana mereka hampir mencipta kejutan ke atas juara bertahan, Argentina yang menyaksikan mereka bangkit dua kali untuk memaksa masa tambahan sebelum tewas 2-3.

Lopes sempat melakukan lawatan singkat ke Cape Verde pada Ahad di mana pasukan itu disambut ribuan penyokong dalam sambutan kepulangan namun pemain berusia 34 tahun yang bermain setiap minit sepanjang kejohanan itu sudah kembali ke Dublin pada petang Isnin.

“Jumlah orang yang menghubungi saya dengan ucapan tahniah dan sokongan amat luar biasa,” kata Lopes kepada penyiar RTE.

“Saya sangat menghargai sokongan yang saya terima daripada rakyat Ireland.”

Ketibaan Lopes di lapangan terbang Dublin disambut dengan laungan ‘Pico, Pico’ yang menjadi nama panggilannya dengan beliau mengulas kekalahan mereka kepada juara dunia itu.

“Selepas perlawanan, kami sangat kecewa kerana hampir meneruskan perjalanan ini.

“Ia satu perjalanan luar biasa, sesuatu yang anda tidak mahu ia berakhir. Kami pulang ke Cape Verde dan melihat sendiri apa maknanya kepada rakyat di sana,” kata Lopes.

Lopes akan turut serta dalam panel pengkritik RTE apabila Argentina menentang Mesir di peringkat 16 terbaik pada awal pagi Rabu ini.

Manakala kelabnya, Shamrock Rovers akan beraksi dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara menentang Floriana di Malta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top