am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Binatang buas dipercayai harimau belang yang membaham seekor lembu di ladang kelapa sawit Felda Penggeli Timur di sini Sabtu lalu dipercayai masih berkeliaran di kawasan ladang berkenaan sekali gus tidak meredakan ketakutan penduduk.
Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Felda Penggeli Timur, Fauzi Mokhtar berkata ia berikutan bangkai lembu berkenaan yang tinggal separuh hilang dipercayai diambil haiwan buas berkenaan.
Katanya, malam tadi dia membawa anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor ke lokasi bangkai lembu itu ditemukan.
“Bagaimanapun bangkai itu sudah tiada dan bila cari sekitar kawasan itu kami jumpa kesan seret kira-kira 100 meter dari tempat ia dibaham,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, rutin harian penduduk terkesan memandangkan lokasi kejadian hanya terletak kira-kira satu kilometer dari penempatan peneroka.
Sementara itu mandur ladang kelapa sawit, Abdul Hanan Abas, 40, berkata, kejadian itu menyebabkan 15 pekerja ladang warga Indonesia bimbang untuk bekerja.
“Buat masa ini pekerja ladang ini masih keluar bekerja namun mereka dinasihatkan keluar secara berpasangan bagi mengelak daripada serangan harimau.
“Kami yakin harimau itu masih berada di sekitar kawasan ladang ini berdasarkan penemuan tapak-tapak baharu haiwan berkenaan,” katanya.
Pemilik lembu, Hamdan Adnan, 60, berkata kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sejak dia menternak secara lepas di ladang berkenaan pada 2008.
“Saya ada kira-kira 140 lembu dan kejadian ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM3,000.
“Saya berharap sangat harimau ini dapat ditangkap segera kerana khuatir banyak lagi lembu saya akan jadi mangsa haiwan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular gambar bangkai seekor lembu yang tinggal separuh badan di ladang berkenaan serta rakaman suara menasihatkan agar penduduk berwaspada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




