Tokyo: Bapa Jules Bianchi, Philippe, menyampaikan penghormatan penuh emosi buat anaknya yang sudah tiada sempena ulang tahun ke-12 kemalangan Formula 1 (F1) pada 2014 yang akhirnya meragut nyawanya.
Pelumba Perancis itu terbabit dalam kemalangan ngeri ketika Grand Prix (GP) Jepun 2014 di Suzuka yang berlangsung dalam keadaan litar basah akibat Taufan Phanfone yang menghampiri.
Pada pusingan ke-42 daripada 53 pusingan perlumbaan, pelumba Sauber, Adrian Sutil terbabas dan melanggar penghadang di selekoh ke-7 Suzuka.
Pada pusingan berikutnya, Bianchi hilang kawalan terhadap jentera Marussia ketika menghampiri selekoh berkenaan ketika bendera kuning berkembar dikibarkan.
Bianchi merempuh secara langsung kenderaan pemulihan yang berada di lokasi kemalangan Sutil dan mengalami kecederaan serius di kepala.
Pelumba Perancis itu berada dalam keadaan koma akibat rawatan sebelum meninggal dunia akibat kecederaan pada 17 Julai 2015 di sebuah hospital di Nice.
Dia menjadi pelumba pertama yang maut akibat insiden dalam perlumbaan F1 sejak Ayrton Senna di Imola pada 1994.
Di media sosial, Philippe berkongsi penghormatan penuh emosi buat anaknya.
“12 tahun. Saya merindui kamu, sangat sedih, tetapi kami bekerja untuk kamu setiap hari supaya kamu tidak pernah dilupakan. Saya sayang kamu,” tulis Philippe bersama gambar Bianchi ketika awal pembabitan anaknya dalam perlumbaan.
Bianchi membuat penampilan sulung dalam F1 pada 2013 bersama pasukan Marussia selepas menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kedudukan GP2 pada 2010 dan 2011, selain menduduki tempat kedua Formula Renault 3.5 pada 2012.
Sebagai pelumba akademi Ferrari, Bianchi meraih mata pertamanya dalam F1 pada GP Monaco 2014 selepas menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan.
Keputusan itu menyumbang mata pertama pasukan berkenaan, sama ada ketika dikenali sebagai Virgin Racing pada 2010 hingga 2011 mahupun Marussia.
Pasukan itu tidak meraih mata lagi sehingga musim 2016 ketika beraksi di bawah nama Manor Racing menerusi Pascal Wehrlein.
© New Straits Times Press (M) Bhd




