16 peratus tentera AS tinggalkan Afghanistan – Pentagon

16 peratus tentera AS tinggalkan Afghanistan – Pentagon

WASHINGTON: Pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan kini selesai antara 16 hingga 25 peratus.

Pentadbiran Pusat Pentagon yang memaklumkan perkara itu berkata AS mempunya tempoh sehingga September ini untuk membawa keluar kesemua 2,500 anggota tentera dan 6,000 kontraktor awam serta ratusan tan peralatan dari negara itu.

Bulan lalu, Presiden AS, Joe Biden, mengarahkan pengunduran tentera AS, sekali gus mengakhiri perang 20 tahun menyusuli tragedi serangan September 11 2001 oleh al-Qaeda.

Pentagon tidak mendedahkan butiran terperinci proses itu atas sebab keselamatan bagi mengelak risiko diserang Taliban atau kumpulan lain yang menentang kehadiran AS di Afghanistan.

Menurut Pentadbiran Pusat Pentagon, pihaknya sudah menyerahkan lima premis dan pangkalannya kepada pasukan keselamatan Afghanistan serta memindahkan barangan yang boleh memuatkan 160 pesawat pengangkut C-17.

Antara pangkalan yang diserahkan termasuk Lapangan Terbang Kandahar di selatan Afghanistan, yang pada satu masa menjadi pangkalan tentera kedua terbesar AS di Afghanistan.

Pentagon turut mengerahkan lebih banyak pesawat pengebom dan aset tentera lain bagi memastikan tenteranya dan tentera sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kekal selamat semasa proses pemindahan.

bagaimanapun, pengunduran tentera AS itu tidak mengurangkan serangan Taliban terhadap kerajaan Afghanistan, termasuk sasaran tentera atau orang awam. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top