Kota Kinabalu: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini melepas dan membebaskan sembilan anggota polis daripada pertuduhan menerima rasuah.
Mereka ialah Inspektor Joevian Gubal Michael, Sarjan Azizul Ismail, Lans Koperal Hairul Amid, Konstabel Afizul Azwan Anuar, Koperal Abdullah Bakir, Inspektor Bobby Rhyne Warry Nawari, Koperal Haikal Ibrahim Abdullah, Koperal Sebestino Bong dan Koperal Jameswell anak Lakin.
Hakim Jason Juga membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur pertuduhan di akhir kes pendakwaan.
Jason berkata, wujud keraguan dalam keterangan yang dikemukakan dan pendakwaan gagal membuktikan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdasarkan penilaian maksima.
“Hasil penilaian keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan, mahkamah mendapati wujud keraguan pada keterangan yang dianjurkan sekali gus gagal membuktikan tertuduh menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Berdasarkan kekuatan keterangan pendakwaan, mahkamah tidak bersedia untuk disabitkan tertuduh sekiranya mereka memilih untuk berdiam diri jika dipanggil membela diri. Justeru, tiada kes prima facie dibuktikan dan kesemua sembilan tertuduh berhak dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 173(f)(ii) Kanun Tataacara Jenayah (CPC),” katanya.
Kesemua tertuduh memohon dibicarakan sewaktu dihadapkan ke mahkamah pada 2021.
Sembilan anggota polis terbabit berdepan beberapa pertuduhan membabitkan nilai suapan berbeza yang didakwa diterima daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung kesalahan dadah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pelbagai tarikh antara April 2014 hingga Julai 2018, dengan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik kesemua tertuduh.
Abdullah berdepan pertuduhan tertinggi iaitu 18 pertuduhan membabitkan RM2,200, diikuti Haikal dengan sembilan pertuduhan membabitkan RM1,570 dan Bobby berdepan delapan pertuduhan membabitkan RM3,600.
Hairul berdepan lima pertuduhan membabitkan RM2,000, manakala Joevian, Afizul dan Azizul masing-masing berdepan empat pertuduhan membabitkan nilai RM2,400, RM470 dan RM900.
Dalam pada itu, James berdepan tiga pertuduhan membabitkan RM600, manakala Sabestino berdepan dua pertuduhan membabitkan RM300.
Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bersama itu.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi.
Joevian dan Azizul diwakili peguam Sylyester Kuan; Hairul, Afizul, Abdullah, Haikal dan Jameswell diwakili Mohd Azhier Farhan Arisin; Bobby diwakili Batholomew Jingulam serta Edward Paul, manakala Sebestino diwakili Luke Ressa Balang.
© New Straits Times Press (M) Bhd

