mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui terdapat beberapa keputusan kurang tepat pengadil perlawanan ketika aksi Liga Super membabitkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 9 Januari lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan Jawatankuasa Penilaian Prestasi sudah meneliti Laporan Penilai Pengadil serta melakukan semakan menyeluruh terhadap prestasi semua pegawai perlawanan itu.
Beliau berkata, penilaian turut membabitkan analisis terperinci terhadap beberapa insiden utama sepanjang perlawanan berkenaan.
“Hasil penilaian mendapati terdapat beberapa keputusan yang kurang tepat dilakukan oleh pengadil perlawanan, S Logeswaran dan pengadil video bantuan pengadil (VAR), Muhd Usaid Jamal khususnya berkaitan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 ‘kesalahan dan kelakuan tidak bersopan’,” katanya, menerusi kenyataan, sebentar tadi.
FAM menjelaskan kelemahan dikenal pasti khususnya membabitkan penguatkuasaan Undang-undang Permainan 12 iaitu Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan.
Sehubungan itu, FAM memutuskan untuk merujuk kedua-dua pengadil terbabit ke fasa pemulihan dan pemurnian selama dua minggu bagi memperbaiki prestasi masing-masing.
Pada masa sama, semua mereka diarahkan menghadiri sesi ‘Postmatch Debriefing’ yang akan berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 15 Januari ini.
“Objektif utama sesi terbabit adalah untuk menilai dan membimbing pegawai perlawanan agar mereka dapat memperbaiki setiap kelemahan.
“FAM tidak pernah berkompromi dalam hal-hal berkaitan kualiti pengadilan dan akan memanggil mana-mana pegawai perlawanan yang menunjukkan prestasi lemah untuk bimbingan dan pemulihan prestasi,” katanya.
Sebelum ini, kualiti pengadilan Logeswaran menjadi topik utama dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air kerana jaringan Manuel Hidalgo terhasil pada minit ke-98, melebihi tempoh tujuh minit masa tambahan diberikan.
Jaringan Hidalgo itu mengubah keputusan perlawanan apabila NSFC tewas 0-1 kepada JDT pada aksi Jumaat lalu itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




