suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Genap tiga bulan ibunya pergi buat selama-lamanya. Namun, bagi Alif Rosehaizad, 37, kehilangan itu masih terasa, terutama setiap kali dia melangkah masuk ke bilik yang menjadi sebahagian daripada hidupnya sepanjang empat tahun lalu.
Alif berkata, meskipun maknya yang dipanggil ‘Chek’ sudah tiada, adakalanya dia terasa rutin hariannya berjalan seperti biasa, seolah-olah ‘syurganya’ itu masih ada.
“Kadang-kadang kalau masuk ke bilik itu, saya cuba untuk tidak buat bising kerana takut mengejutkan mak. Tapi saya lupa mak sudah tiada.
“Sehingga kini, saya juga masih selalu duduk di bilik mak kerana sudah terbiasa menghabiskan masa di situ,” katanya.
Ibunya, Che Fatimah, 69, meninggal dunia pada 4 Julai lalu selepas empat tahun terlantar dan lumpuh sepenuhnya akibat Hypoxic-Ischemic Encephalopathy (HIE), iaitu keadaan apabila otak mengalami kekurangan oksigen sehingga menyebabkan kecederaan otak.
Berkongsi saat akhir bersama arwah, Alif berkata dia bersyukur berada di sisi arwah ketika menghembuskan nafas terakhir.
Menurutnya, Sabtu adalah hari rehatnya menjaga ibu, namun pada hari itu dia membatalkan rancangannya untuk keluar dan memilih berada di rumah.
Keputusan itu akhirnya menjadi kenangan bermakna buatnya kerana dapat berada di sisi ibu sehingga akhir hayat.
“Saya sempat kejutkan adik-adik dan hubungi abang-abang serta ayah untuk sama-sama menemani mak. Alhamdulillah, mak pergi dalam keadaan tenang bersama keluarga tersayang,” katanya.
Ketika ibunya jatuh sakit, Alif sedang sibuk dengan kerjaya dan baru sahaja menerima kenaikan pangkat, namun keadaan itu mendorongnya membuat keputusan meninggalkan kerjaya dalam bidang komunikasi korporat yang sudah diceburinya selama 10 tahun untuk memberi sepenuh perhatian kepada ibunya.
Sepanjang menjaga ibunya, Alif turut mengikuti kursus penjagaan warga emas bagi mempelajari kaedah yang betul untuk menguruskan keperluan wanita itu.
Pada masa sama, dia menggunakan pengalaman dalam bidang komunikasi untuk berkongsi ilmu dan pengalaman sebagai penjaga menerusi media sosial, termasuk cara menjaga pesakit terlantar.
Kini, selepas empat tahun hidupnya tertumpu kepada penjagaan ibu, Alif mengakui dia sendiri masih memerlukan masa untuk kembali menjaga dirinya.
“Saya rasa sepanjang empat tahun saya menjaga ibu, tanpa sedar ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada fizikal dan mental saya sebagai seorang penjaga sepenuh masa.
“Jadi saya mahu gunakan beberapa bulan ini untuk fokus kepada diri sendiri dan berehat dahulu sebelum merancang langkah seterusnya dalam hidup saya,” katanya.
Alif bagaimanapun berharap dapat terus berada dalam industri penjagaan, walaupun mungkin bukan lagi sebagai penjaga sepenuh masa, selain berjanji akan meneruskan perkongsian ilmu penjagaan pesakit terlantar menerusi media sosial.
Baginya, setiap mesej daripada penjaga lain yang memberitahu perkongsiannya membantu mereka menjaga ibu bapa, datuk, nenek, pasangan atau adik-beradik menjadi satu kepuasan yang sukar digambarkan.
Malah, dia berharap ilmu yang dikongsikan itu menjadi sumber pahala berterusan buat arwah ibunya kerana wanita itulah yang menjadi inspirasi dan memberinya kekuatan untuk berkongsi.
“Jujur, saya sendiri masih belajar untuk hidup tanpa ibu dan tidak mempunyai jawapan mudah kepada mereka yang sedang melalui kesedihan sama.
“Ramai yang mengingatkan saya bahawa kehilangan ini adalah permulaan kepada rindu yang tidak berpenghujung.
“Tapi rindu dan sedih itu juga adalah tanda kasih sayang yang pernah kita berikan dan lalui, jadi nikmatilah rasa rindu itu.
“Tiap kali kita rasa rindu, kita doakan mereka yang sudah meninggalkan kita,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




