sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) berhempas-pulas sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 menumpaskan DPMM FC pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Pemain serba boleh TFC, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob meletakkan pasukannya di hadapan pada babak pertama perlawanan selepas bijak menggelecek pemain pelawat sebelum melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Muhammad Haimie Abdullah.
Jaringan tunggal itu memastikan TFC berjaya mengutip tiga mata penuh untuk kekal menghuni di tangga kelima liga dengan mengumpul 24 mata manakala DPMM FC turun satu anak tunggu di kedudukan ketujuh dengan 17 mata.
Terdahulu aksi hambar diperagakan pemain kedua-dua pasukan membosankan hampir 2,000 peminat setia yang hadir menyaksikan perlawanan ke-15 itu.
Bagaimanapun memasuki minit ke-16, pelawat mendapat peluang pertama menerusi percubaan Miguel Oliveira, namun rembatan pemain kelahiran Portugal itu dapat dibaca penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.
TFC yang menurunkan dua import baharu dari Tajikistan, Ehsoni Panshanbe dan Shervoni Mabatshoev dilihat gagal mencipta percubaan bahaya untuk menembusi benteng pelawat biarpun skuadnya mendominasi permainan.
Biarpun sesekali menyerang, skuad pelawat kendalian Jamie McAllister mendapat peluang kedua untuk membuka tirai jaringan menerusi Jordan Murray pada minit ke-35, tapi percubaannya sekali lagi dapat dibaca Rahadiazli.
Sedar pasukannya memerlukan jaringan pada babak pertama, skuad tuan rumah kendalian ketua jurulatih sementara, Tengku Hazman Raja Hassan menggandakan asakan dan hampir mencipta jaringan menerusi rembatan jarak jauh Panshanbe pada minit ke-40 yang hanya sedikit tersasar.
Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-42 menerusi rembatan Engku Muhammad Nur Shakir yang gagal diselamatkan penjaga gol, Muhammad Haimie untuk pasukannya mendahului 1-0.
Skuad Penyu hampir mendapat jaringan kedua menerusi penyerang kebangsaan, Haqimi Azim Rosli, namun percubaannya dalam kotak penalti berjaya dutepis penjaga gol pada minit ke-64 dan keputusan muktamad 1-0 menjadi milik TFC.
© New Straits Times Press (M) Bhd




