'Anak telefon menangis, kata suaminya meninggal dunia'

'Anak telefon menangis, kata suaminya meninggal dunia'

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Tangisan anak perempuan yang menelefon dan memintanya supaya membuat pengesahan mengenai kematian menantu mengejutkan warga emas di Felda Chiku 3 di sini.

Mat Jusoh Muda, 76, berkata, dia menerima panggilan anaknya Siti Safila, 40, kira-kira 6 petang tadi.

“Dia telefon dalam keadaan menangis mengatakan suaminya sudah meninggal dunia. Saya kata, sabar dulu belum disahkan lagi.

“Namun sejurus panggilan, saya terus ke hospital,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gua Musang, di sini, hari ini.

Menantu Mat Jusoh, Nik Azmi Nik Othman, 47, antara tiga lelaki yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kilometer 55 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, tengah hari tadi.

Menurutnya, sehingga kini dia masih menunggu kehadiran Siti Safila yang dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa untuk sama-sama menguruskan jenazah Nik Azmi.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan menerima maklumat kemalangan tragik itu pada 1.01 tengah hari yang membabitkan dua kenderaan.

Kemalangan itu mengorbankan tiga lelaki yang disahkan sebagai Nik Azmi; Nik Razizi Nik Rahim, 55, dan Mohamed Saiful Kamaruzaman, 33.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top