Imigresen gempur koloni haram PATI dekat lebuh raya tengah KL

Imigresen gempur koloni haram PATI dekat lebuh raya tengah KL

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lengkap dengan fasiliti surau, bilik tidur selesa serta bekalan elektrik dan air dicuri. Itu kemewahan dinikmati sebuah koloni haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ‘bersembunyi’ di sebalik laluan utama Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dekat Jalan Klang Lama, di sini.

Malah, penempatan itu dianggap ‘kebal’ oleh penghuninya kerana mendakwa tidak pernah diserbu pihak berkuasa sejak sekian lama sebelum ia digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pada 3 pagi tadi.

Lebih mengejutkan, koloni itu turut mempunyai sistem ‘tuan rumah’ sendiri yang mengutip sewa bulanan daripada penghuni lain.

Seorang penghuni dikenali sebagai Herman, 30-an, mengaku selesa menetap di situ bersama isteri dan anak sejak setahun lalu.

“Saya bayar sewa bilik RM350 sebulan. Duit itu saya bayar pada ‘tuan rumah’ di sebelah ini, dia pun orang Indonesia juga.

“Sepanjang duduk di sini, memang belum pernah kena serbu,” katanya ketika ditemui.

Tinjauan mendapati penempatan haram itu mempunyai struktur binaan yang tersusun dengan setiap bahagian menempatkan sekurang-kurangnya lima bilik, dapur, tandas dan ruang tamu yang disambung dengan laluan sempit.

Bagaimanapun, ‘kekebalan’ koloni itu musnah apabila diserbu pasukan penguat kuasa bermula 2.30 pagi hasil risikan selama seminggu.

Suasana bertukar kecoh apabila penghuni bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ada yang bertindak agresif memanjat bumbung, malah ada yang cuba menyorok di dalam ruang sempit di belakang pintu dan tandas serta mengunci diri di dalam bilik bagi mengelak ditahan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, 71 individu ditahan dalam operasi itu membabitkan 37 lelaki dan 34 wanita.

Menurutnya, semakan mendapati majoriti yang ditahan adalah warga Indonesia iaitu seramai 66 orang, diikuti Myanmar (tiga), serta masing-masing seorang warga India dan Pakistan.

“Siasatan mendapati mereka melakukan kesalahan tinggal lebih masa serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top