Newcastle, England: Antoine Semenyo percaya dia kini berada di tempat paling sesuai untuk berkembang selepas menjaringkan gol dalam dua perlawanan pertamanya bersama Manchester City.
Pemain antarabangsa Ghana itu memberi impak segera sejak menyertai City dari Bournemouth dengan nilai £65 juta (RM355 juta) minggu lalu, termasuk meledak gol pembukaan ketika menang 2-0 ke atas Newcastle pada separuh akhir pertama Piala Liga, awal pagi tadi.
Semenyo, yang turut menjaringkan gol ketika City membelasah Exeter 10-1 dalam Piala FA Sabtu lalu, juga menyaksikan satu lagi jaringannya dibatalkan secara kontroversi selepas semakan VAR yang lama di St James’ Park.
“Keseluruhan persekitaran di sini amat sempurna. Setiap orang yakin dan mahu mencapai tahap terbaik. Saya masuk ke dalam suasana itu dan mereka membantu keyakinan saya serta membuatkan saya rasa dialu-alukan,” kata Semenyo, yang kini sudah mengumpul 12 gol dalam semua pertandingan musim ini.
“Ia agak pantas tetapi saya menikmatinya setakat ini. Saya cepat menyesuaikan diri dan benar-benar menikmatinya.
“Saya hanya membawa keyakinan yang saya ada di Bournemouth ke sini dan bermain dengan senyuman di wajah. Saya menikmati setiap detik.”
Rayan Cherki kemudian meledak gol kedua yang boleh dianggap sebagai penamat buat juara bertahan pada minit kesembilan masa kecederaan, susulan gangguan lama akibat semakan VAR terhadap gol Semenyo yang dibatalkan.
Walaupun mendahului dengan kelebihan selesa, City tetap berang dengan keputusan pengadil dengan Pep Guardiola merujuk kepada dua penalti yang gagal diberikan kepada pasukannya ketika tewas 1-2 kepada Newcastle dalam Liga Perdana Inggeris awal musim ini.
“Sepatutnya kedudukan menjadi 3-0, tetapi kami sudah agak biasa dengan situasi seperti ini buat masa sekarang,” kata kapten City, Bernardo Silva.
“Ia amat mengecewakan kerana kali terakhir kami datang ke sini pun, banyak keputusan tidak memihak kepada kami”.
© New Straits Times Press (M) Bhd




