'Sekarang fikir nak sihat sahaja' – Helmi Gimmick

'Sekarang fikir nak sihat sahaja' – Helmi Gimmick

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pengacara dan penghibur serba boleh, Helmi Gimmick, 66, memaklumkan keadaan kesihatannya beransur pulih tetapi masih dalam pemantauan doktor selepas pembedahan membuang buah pinggang kiri akibat kanser.

Pemilik nama sebenar Helmi Harun ini berkata, dia juga sudah boleh berjalan tanpa rasa sakit, namun tidak boleh terlalu aktif bergerak kerana dibimbangi pendarahan akibat pembedahan dijalani belum terlalu kering.

“Alhamdulillah, keadaan saya sekarang ini stabil, kesan pembedahan juga semakin pulih dan membaik. Tetapi, doktor masih lagi perlu memantau dan tidak tahu juga bila saya dibenarkan keluar dari hospital.

“Saya serahkan semua keputusan kepada doktor kerana jika saya dibenarkan pulang ke rumah pun, tiada kepakaran yang menjaga. Sekurang-kurangnya di hospital ini, ada doktor dan jururawat yang selalu memantau.

“Maka lebih baik juga saya dirawat dulu di hospital sehingga betul-betul pulih. Selepas pembedahan (8 Januari lalu), saya kini sangat berlapang dada dan tidak runsing lagi. Sekarang fikir nak sihat sahaja,” katanya kepada Harian Metro.

Sudah 17 hari mendapat rawatan di Hospital Universiti Putra Malaysia atau Hospital Sultan Abdul Aziz Shah sejak 29 Disember 2025 akibat kanser buah pinggang tahap empat, Helmi berkata dia gembira mendapat banyak sokongan moral.

“Di hospital ini, semua doktor dan jururawat baik-baik melayan serta menjaga saya. Apatah lagi, sekarang saya harus disiplin makan ubat-ubatan diberi termasuk menjaga pemakanan harian.

“Selain itu, pergerakan saya yang sudah boleh berjalan juga dipantau agar tidak terlalu aktif lagi. Apapun, kerinduan terhadap rumah itu tetap ada. Tapi, anak-anak juga nasihatkan biar saya betul-betul pulih dulu,” katanya.

Memandangkan belum boleh lagi bekerja, Helmi turut bersikap terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin membantunya dari segi kewangan boleh menyumbang ke akaun RHB 20505100036288 atas nama HelmiGimmick Entp.

“Sesiapa yang sudi melawat saya di hospital dan membantu saya dipersilakan, tiada paksaan. Tetapi, sejak saya sakit ini memang ramai yang datang melawat serta membantu. Terima kasih diucapkan.

“Saya hanya mampu membalas semuanya dengan doa. Alhamdulillah juga Allah beri saya kekuatan untuk sentiasa gembira dan ceria setiap hari walaupun diuji dengan sakit ini. Doktor juga gembira tengok saya ceria,” ujarnya.

Kira-kira 30 tahun aktif dalam karier seni sampai sekarang, Helmi dikenali memiliki kemahiran fasih bertutur dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, Indonesia serta sedikit bahasa Perancis.

Pernah popular pada awal era 2000-an, antara program televisyen dihoskan oleh Helmi ialah Famili Ceria di ntv7. Selain itu, dia juga pernah tampil dengan album solo berjudul Tongkat Ali serta berkhidmat sebagai penyampai radio di Time Highway Radio (THR) yang kini dikenali sebagai Gegar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top