mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Mahasiswa disaran menghayati dan mengamalkan nilai integriti dalam kehidupan seharian, sebagai usaha menyokong agenda pencegahan rasuah di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, golongan itu juga memainkan peranan penting dan digalakkan menjadi ejen perubahan dalam menyebarkan mesej antirasuah kepada masyarakat.
“Mahasiswa boleh menjadikan tema “Keep Malaysia Clean” sebagai asas dalam prinsip hidup di mana kejujuran, keadilan dan amanah adalah sebahagian daripada budaya kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada 25 penuntut termasuk pemimpin mahasiswa dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Azam turut mengadakan sesi dialog bersama penuntut terbabit mengenai pelbagai persoalan berkaitan isu rasuah, cabaran penguatkuasaan undang-undang serta peranan golongan muda dalam menyokong agenda pencegahan rasuah di peringkat nasional.
Menerusi lawatan yang disertai penuntut MMU daripada pelbagai latar belakang akademik itu, menjadi platform interaksi strategik antara mahasiswa dan SPRM selain memberi pendedahan kepada pelajar mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab SPRM dalam mencegah serta membanteras jenayah rasuah.
Dalam sesi itu juga, Azam turut berkongsi perancangan dan hala tuju organisasi, termasuk pelaksanaan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan (DPA) sebagai mekanisme strategik dalam menangani kes rasuah di sektor korporat.
Beliau berkata, pendekatan itu menekankan kepada aspek pemulihan, pematuhan dan kebertanggungjawaban organisasi selaras dengan amalan tadbir urus yang baik.
Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Pensyarah MMU, Zakiah Manjanib@Munjanib dan Afizal@Mohd Afizal Mohd Aris serta pegawai-pegawai SPRM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




