kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia disaran menyusun semula corak perbelanjaan isi rumah sebagai langkah paling praktikal bagi melindungi diri daripada tekanan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, keutamaan perlu diberikan kepada perbelanjaan asas, manakala perbelanjaan berbentuk kehendak wajar diketepikan sepenuhnya.
Katanya, isi rumah perlu mengamalkan gaya hidup sederhana dan berhemah serta mengelakkan perbelanjaan mewah, membazir serta yang kurang memberi manfaat.
“Penggunaan perkhidmatan awam juga boleh membantu mengurangkan kos berbanding penggunaan kenderaan secara kerap.
“Perancangan pembelian juga penting termasuk menumpukan kepada satu lokasi yang menawarkan pelbagai barangan bagi menjimatkan masa dan kos perjalanan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Mengulas strategi simpanan dan pelaburan dalam keadaan ekonomi tidak menentu, beliau berkata, realitinya ramai rakyat berdepan kesukaran untuk menyimpan atau melabur berikutan pendapatan yang semakin tertekan.
“Dalam situasi ini, lebihan wang daripada sumber lain seperti bonus, kerja sampingan atau pemberian boleh dijadikan simpanan.
“Walaupun pelaburan emas berpotensi memberi pulangan, ia lebih sesuai untuk jangka panjang dan hanya bagi mereka yang benar-benar mempunyai lebihan pendapatan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pembelian emas fizikal bersaiz kecil kerana lebih mudah dicairkan sekiranya berlaku kecemasan, termasuk kepentingan mempunyai simpanan tunai sebagai dana kecemasan.
Dalam pada itu, Mohd Faisol menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam mengurus hutang, terutama ketika ekonomi global tidak stabil.
“Individu perlu elak membuat hutang baharu kerana ia boleh membebankan kewangan dan penggunaan Buy Now, Pay Later (BNPL) juga harus dielakkan kerana berisiko menyebabkan hutang meningkat tanpa disedari.
“Apa yang penting, amalkan kehidupan sederhana membabitkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal serta jangan mudah terpengaruh dengan promosi atau iklan yang mendorong kepada perbelanjaan berlebihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




