Selangor FC bakal belanja lebih berhemah musim depan

Selangor FC bakal belanja lebih berhemah musim depan

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selangor FC tampak realistik dan mengambil langkah tepat apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Johan Kamal Hamidon memberi bayangan kemungkinan akan berbelanja secara lebih berhemah bagi menghadapi musim depan susulan jangkaan tekanan ekonomi global yang lebih mencabar.

Menurutnya, pihak pengurusan sudah mula merangka strategi awal termasuk kemungkinan pengurangan kos dalam persiapan pasukan bagi memastikan kelab kekal stabil dari sudut kewangan.

“Selangor sudah mula merancang bagaimana kita nak berhadapan musim depan. Mungkin akan ada beberapa pengurangan kos dalam persiapan pasukan, tetapi kita masih dalam proses menilai dan melihat perkembangan semasa,” katanya.

Beliau menjelaskan, perbincangan awal turut diadakan bersama ketua jurulatih, Kim Pan-gon bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keperluan pasukan berdasarkan bajet yang bakal dimuktamadkan.

Katanya, ketika ini pihak kelab masih giat berbincang dengan rakan penaja bagi menentukan tahap komitmen yang mampu diberikan menjelang musim baharu.

“Kita ada sekitar 40 hingga 50 penaja di Selangor FC dan proses pembaharuan kontrak sudah pun bermula sejak dua bulan lalu. Sekarang ini kita sedang mengumpul semua komitmen untuk menentukan jumlah bajet sebenar bagi musim depan,” katanya.

Johan berkata, perbincangan bersama Pan-gon dilakukan secara berkala setiap minggu bagi memastikan jurulatih itu sentiasa dikemas kini mengenai perkembangan kewangan dan potensi kemasukan penaja baharu.

“Setiap minggu kita akan beri maklum balas kepada jurulatih, contohnya jika ada penaja baharu atau perubahan dalam bajet, supaya beliau boleh merancang pasukan dengan lebih jelas,” katanya.

Mengulas aspek teknikal, beliau menjelaskan bahawa Pan-gon ketika ini masih memberi fokus penuh kepada baki saingan musim ini selain menilai kekuatan skuad sedia ada.

“Jurulatih masih menilai pemain yang ada dan melihat siapa yang layak disambung kontrak. Fokus utama sekarang adalah kepada pemain sedia ada sebelum kita buat keputusan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, Johan mengakui proses pencarian pemain baharu tetap berjalan seperti biasa menerusi Unit Peninjauan Bakat yang beroperasi sepanjang tahun.

“Kita memang ada pencari bakat yang bekerja sepanjang tahun. Senarai pendek pemain di setiap posisi itu memang sudah ada, termasuk pemain import, tetapi kita belum mula berunding lagi,” katanya.

Menurutnya, segala keputusan berkaitan kemasukan pemain baharu hanya akan dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap skuad semasa serta kedudukan kewangan kelab dimuktamadkan.

“Buat masa ini, penilaian masih tertumpu sepenuhnya kepada pemain sedia ada sama ada mereka mahu kekal dan menyambung kontrak. Selepas itu barulah kita lihat langkah seterusnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top