PPM terbongkar taktik lori tangki bawa diesel dua kali ganda

PPM terbongkar taktik lori tangki bawa diesel dua kali ganda

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Taktik membawa diesel dua kali ganda daripada jumlah yang dinyatakan dalam dokumen penghantaran membongkar kegiatan disyaki penyelewengan bahan api bersubsidi di Sepanggar, di sini, semalam.

Kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan sebuah lori tangki membawa kira-kira 20,000 liter diesel, sedangkan dokumen penghantaran hanya mencatatkan 10,000 liter.

Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah premis di kawasan sama sebelum menahan lapan lelaki berusia antara 30 hingga 52 tahun serta merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM1.2 juta.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi dijalankan Unit Risikan Marin selepas menerima maklumat risikan berhubung kegiatan berkenaan.

Katanya, pasukan menjalankan intipan selama lima jam sebelum menahan lori tangki terbabit di Jalan Sepanggar menghala ke Bukit Setia, jam 3.30 petang.

“Pemeriksaan mendapati lori itu membawa kira-kira 20,000 liter diesel, namun dokumen penghantaran hanya menyatakan 10,000 liter.

“Pemandunya juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran yang sah bagi membawa jumlah diesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Ahmad Amri berkata, susulan itu, pasukan menyerbu sebuah premis di Sepanggar, jam 4.50 petang.

Katanya, serbuan berkenaan mengesan kegiatan disyaki pembelian dan penjualan diesel secara tidak sah membabitkan beberapa pemandu lori.

“Hasil keseluruhan operasi, sebanyak 23,830 liter diesel, tujuh lori pelbagai jenis, dua tangki skid, tiga tong drum serta dua pam elektrik bersama kelengkapan pemindahan minyak dirampas.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.22 juta, manakala lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top