hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan keprihatinan terhadap kesihatan dan kesejahteraan murid dan pelajar susulan keadaan jerebu yang mengakibatkan kemerosotan kualiti udara.
Seri Paduka Baginda turut mengambil berat kesan pencemaran udara terhadap kesihatan kanak-kanak terutama murid dan pelajar yang lebih terdedah kepada risiko gangguan kesihatan memandangkan sistem pernafasan mereka masih dalam peringkat perkembangan.
Baginda bertitah pemakaian pelitup muka antaranya jenis N95 penting membantu mengurangkan pendedahan kepada zarah pencemaran udara ketika keadaan jerebu melanda.
“Berikutan kualiti udara tercemar akibat jerebu, saya amat bimbang kesan kesihatan jangka panjang khususnya membabitkan murid dan pelajar.
“Apa yang amat dibimbangi ialah pendedahan secara kerap kepada udara tercemar boleh memberi kesan buruk jangka panjang bukan sahaja kepada kepada paru-paru tetapi juga kepada fungsi otak dan pemikiran,” titah Seri Paduka Baginda yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam ini.
Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek di Istana Negara, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Rusmini Ku Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Datuk Amzan Abd Malek.
Pada sesi mengadap selama hampir dua jam itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan menzahirkan pelbagai pandangan serta pendapat mengenai isu berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




