Kecederaan leher paksa Kayla tarik diri UFC 324

Kecederaan leher paksa Kayla tarik diri UFC 324

Las Vegas: Kayla Harrison terpaksa menarik diri daripada aksi UFC 324 yang dijadual berlangsung pada 24 Januari di Las Vegas susulan kecederaan leher yang memerlukan pembedahan, lapor beberapa media.

Kayla, juara bantamweight UFC, sepatutnya bertemu legenda dan ahli Dewan Kemasyhuran, Amanda Nunes, dalam pertarungan tumpuan ketika UFC merancang memulakan kerjasama baharu bersama Paramount+ menerusi dua pertarungan berprofil tinggi.

Menurut laporan Eagle Tribune, Kayla menjalani pembedahan di New York pada bagi merawat cakera hernia di bahagian lehernya.

Satu lagi aksi menyaksikan pertarungan kejuaraan interim lightweight UFC antara bekas pemegang tali pinggang, Justin Gaethje, dan Paddy Pimblett.

Gaethje (26-5) dan Pimblett (23-3) akan berentap bagi merebut kejuaraan yang dikosongkan sementara oleh Ilia Topuria.

Kayla, pemenang dua pingat emas Olimpik judo, mencatat rekod 19-1 dan merangkul kejuaraan bantamweight pada Jun 2025 selepas menewaskan Julianna Pena menerusi kemenangan submission.

Laporan turut menyatakan Kayla dijangka berehat sekurang-kurangnya sepanjang separuh pertama tahun 2026.

Amanda (23-5) sebelum ini pernah memegang gelaran featherweight dan bantamweight UFC, namun atlet berusia 37 tahun itu tidak lagi beraksi sejak mempertahankan tali pinggang bantamweight pada Jun 2023.

Dia melepaskan gelaran itu beberapa minggu kemudian selepas mengumumkan persaraan yang dijangka berakhir pada Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top