sukan@hmetro.com.my
Kajang: Jurulatih memanah Perak, Fatin Nurfatehah Mat Salleh tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya, Puteri Qaira Qistina meskipun terpaksa akur dengan pingat perak selepas tewas dengan hanya satu mata dalam pusingan kelayakan compound 50 meter wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Bagi Fatin yang juga pemanah negara, Puteri sudah menampilkan prestasi konsisten sepanjang pusingan kelayakan, namun satu end (set) menyaksikan pencabar berjaya memintas dengan kelebihan satu mata untuk meraih emas.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati walaupun dapat pingat perak dan kalah satu mata. Atlet yang menang itu juga kali pertama menyertai SUKMA dan masih muda, baru 16 tahun. Bagi saya, dia sudah melakukan yang terbaik dan itu adalah skor latihan kami cari. Saya sentiasa pesan supaya buat yang terbaik dan kita tengok bagaimana rezeki,” katanya.
Dalam acara berkenaan, emas dimenangi oleh atlet Sabah, Catherine Looi Mei Qi Abdullah (683 mata) dan gangsa diraih wakil Kelantan, Auni Wafiy (678 mata).
Menurut Fatin, anak buahnya bermula dengan baik dan mendahului pada pusingan pertama sebelum kedudukan berubah apabila atlet yang meraih emas menghasilkan satu end cemerlang dengan kutipan 59 mata.
“Dia tidaklah jatuh jauh. Cuma atlet yang menduduki tempat pertama itu ada satu end yang dia memang mengejar jauh, iaitu 59 mata. Di situ kami ketinggalan satu mata kerana atlet Perak ini konsisten daripada end pertama hingga terakhir. Atlet yang memenangi emas itu ada satu end yang berjaya memintas dan menyebabkan dia mendahului satu mata.
“Biasanya kami minta dia terus menembak dan pastikan anak panah mengenai kawasan kuning serta elakkan kesilapan besar. Kami juga tidak mahu meletakkan tekanan kepadanya kerana dia masih baharu. Saya beritahu, prestasi terbaiknya pun sudah cukup baik. Jadi, tiada tekanan, cuma minta dia terus menembak dalam kuning dan jangan buat kesilapan besar,” katanya.
Mengulas pusingan kalah mati yang akan bermula pada sebelah petang, Fatin mengakui peluang masih terbuka buat semua atlet tanpa mengira kedudukan ranking.
“Kalau berdasarkan skor, memang ada peluang. Tetapi dalam pusingan kalah mati, semua orang ada peluang yang sama. Atlet ranking bawah pun boleh menewaskan atlet ranking atas. Apa pun, saya harap yang terbaik daripada atlet Perak,” katanya yang menyasarkan dua pingat emas pada temasya kali ini, sama seperti pencapaian pada edisi SUKMA sebelum ini menerusi acara compound lelaki individu dan compound wanita berpasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

