Los Angeles: Badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), mengumumkan menerima lebih 500 juta permohonan tiket bagi Piala Dunia tahun ini, meskipun berdepan kontroversi berhubung harga tiket yang melambung tinggi.
Menurut FIFA, permohonan diterima daripada peminat di kesemua 211 negara dan wilayah anggotanya untuk kejohanan yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Jendela permohonan bagi undian tiket ditutup semalam, dengan FIFA memaklumkan peminat akan dimaklumkan sama ada permohonan mereka berjaya atau tidak ‘tidak lebih awal daripada 5 Februari’.
Di luar negara tuan rumah, permintaan tertinggi datang daripada peminat di Jerman, England, Brazil, Sepanyol, Portugal, Argentina dan Colombia.
Perlawanan paling mendapat permintaan ialah aksi Colombia menentang Portugal di Miami pada 27 Jun, diikuti pertemuan Mexico menentang Korea Selatan di Guadalajara pada 18 Jun, serta perlawanan akhir Piala Dunia di New Jersey pada 19 Julai.
“Setengah bilion permohonan tiket dalam tempoh lebih sebulan bukan sekadar permintaan, ia satu kenyataan global.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada peminat bola sepak di seluruh dunia atas sambutan luar biasa ini.
“Mengetahui betapa bermaknanya kejohanan ini kepada orang ramai di seluruh dunia, satu-satunya kekesalan kami ialah kami tidak mampu mengalu-alukan setiap peminat ke dalam stadium,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino
Bagaimanapun, FIFA berdepan kritikan hebat terhadap strategi harga tiket bagi kejohanan 48 pasukan itu, dengan kumpulan penyokong melabel kos berkenaan sebagai ‘melampau’ dan ‘astronomikal’.
Penyokong Bolasepak Eropah (FSE) mendakwa harga tiket hampir lima kali ganda lebih mahal berbanding kejohanan 2022 di Qatar.
Susulan kritikan itu, FIFA memperkenalkan kategori baharu tiket harga rendah pada Disember lalu, ditetapkan pada AS$60 (RM242) setiap satu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




