Ipoh: Sebanyak 100 mangsa banjir daripada 29 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Larut, Matang dan Selama setakat 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding 90 mangsa daripada 27 keluarga pada 4 petang tadi.
“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Kampung Matang Pasir dan Kampung Matang Gelugor,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, sebanyak 56 mangsa daripada 21 keluarga kekal ditempatkan di PPS SK Matang susulan kejadian ribut yang menjejaskan penduduk di Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat (MPA Barat) dalam kenyataan memaklumkan telah mengatur gerak 100 anggota daripada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bagi melaksanakan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana susulan kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pangkor awal pagi tadi.
MPA Barat memaklumkan misi bantuan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Staf Operasi MPA Barat Komander Abdul Manan Mazlan itu melibatkan tiga buah Fast Combat Boat (FCB) dan dua buah Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) bagi menyokong pergerakan anggota serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.
Menurut kenyataan itu, sebuah helikopter TLDM juga berada dalam keadaan siap siaga bagi memberikan sokongan udara sekiranya diperlukan.
“Dalam pelaksanaan misi bantuan ini, TLDM juga telah menyediakan sebanyak 300 bungkus makanan dan 425 botol air mineral untuk diagihkan kepada petugas terdiri daripada warga TLDM, guru, individu serta wakil beberapa agensi awam yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.
“Kerja-kerja pembersihan tertumpu di SK Seri Pangkor, selain melibatkan masjid dan kediaman penduduk yang terjejas teruk akibat banjir serta dipenuhi mendapan lumpur tebal,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




