Los Angeles: Pengarah filem Avatar iaitu James Cameron mengesahkan Tan Sri Michelle Yeoh bakal membintangi sekuel keempat dan kelima naskhah kegilaan seluruh dunia itu.
Cameron, 71, berkata pelakon kelahiran Ipoh, Perak terbabit pasti akan ditampilkan dalam sekuel akan datang sekiranya projek berkenaan mendapat ‘lampu hijau’ untuk disambung.
“Michelle semestinya akan ada dalam sekuel keempat kalau kami buat. Dilemanya sekarang, industri filem sangat tertekan kala ini. Avatar 3 menelan kos yang sangat mahal. Kami kena buat yang terbaik untuk teruskan.
“Kami kena cari jalan untuk bagaimana jadikan filem Avatar lebih rendah kosnya untuk sambung. Kalau sambung, kami kena buat sekali yang keempat dan kelima,” katanya.
Cameron berkongsi perkara terbabit dalam temubual baru-baru ini sempena sekuel terbaru filem terbabit Avatar: Fire and Ash.
Dia turut memberi sedikit perincian watak yang bakal dibawakan Michelle iaitu sebagai seorang Na’vi bernama Paktuelat.
Pemenang Oscar berusia 63 tahun itu sudah dikaitkan dengan francais Avatar sejak beberapa tahun. Namun, belum membuat kemunculan dalam mana-mana sekuelnya lagi.
Pada 2019, akaun media sosial Avatar X pernah mengumumkan Michelle bakal membawakan watak Dr Karina Mogue dalam hantaran yang didedikasikan bersempena ulang tahun kelahirannya.
Namun, Cameron kemudian mengesahkan pada 2024 bahawa beliau tidak akan membintangi sekuel ketiga Avatar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




