New Delhi: Sebuah pesawat Air India jenis A350 mengalami kerosakan enjin di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, Delhi pada Khamis selepas tersedut sebuah kontena bagasi ketika sedang bergerak di landasan.
Pesawat tersebut baru sahaja berpatah balik ke Delhi selepas penerbangan menuju ke New York dibatalkan susulan penutupan ruang udara Iran.
“Air India mengesahkan bahawa Penerbangan AI101, yang beroperasi dari Delhi ke New York (JFK), terpaksa kembali ke Delhi sejurus selepas berlepas berikutan penutupan mengejut ruang udara Iran yang menjejaskan laluan dirancang. Setibanya di Delhi, pesawat tersebut melanggar objek asing semasa sedang bergerak dalam kabus tebal, mengakibatkan kerosakan pada enjin kanan,” kata jurucakap syarikat penerbangan itu kepada media India.
Tiada laporan mengenai sebarang kecederaan melibatkan penumpang atau anak kapal semasa insiden tersebut berlaku.
Pesawat berbadan lebar itu kini digantung tugas daripada operasi, dan siasatan telah dilancarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




