Tashkent: Egor Kornev memecahkan rekod dunia acara 50 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki pada malam terakhir Piala Dunia Renang di Tashkent, manakala perenang New Zealand, Caitlin Deans, meraih gangsa dalam acara 1,500m gaya bebas.
Kornev dari Rusia mencuri tumpuan apabila mencatat masa 21.28 saat (s) dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki, manakala perenang Afrika Selatan, Pieter Coetze, terlepas peluang memecahkan satu lagi rekod dunia dengan perbezaan hanya lima perseratus saat dalam acara 100m kuak lentang.
Bintang Belanda, Marrit Steenbergen, turut mencipta sejarah apabila merekodkan rekod Eropah baharu 50.32s dalam acara 100m gaya bebas wanita, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di puncak carta keseluruhan Piala Dunia.
Kornev meneruskan kempen cemerlangnya dalam siri Piala Dunia menerusi catatan 21.28 saat yang membolehkannya mencipta rekod dunia baharu dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki.
Pencapaian itu menyusuli renangannya yang menyamai rekod dunia dalam acara 100m gaya bebas pada pusingan pembukaan Piala Dunia di Baku.
Perenang Rusia itu kini muncul antara atlet paling menyerlah dalam Jelajah Laluan Sutera yang membabitkan tiga pusingan.
Ketika ditanya sama ada dia mampu berenang dengan lebih pantas, Kornev mengambil pendekatan berhati-hati.
“Kita lihat nanti. Saya tidak dapat berkata apa-apa. Saya sudah melakukan yang terbaik dan memberikan segala-galanya hari ini. Saya tidak tahu sejauh mana saya mampu berenang dengan lebih pantas,” katanya.
Kornev mengumpul 57.4 mata pada malam terakhir di Tashkent dan terus mendahului kedudukan keseluruhan Piala Dunia lelaki dengan 116.7 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




