Isu grafik babi dalam artikel UMNO, portal akan datang mohon maaf hari ini

Isu grafik babi dalam artikel UMNO, portal akan datang mohon maaf hari ini

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurusan sebuah portal berita memaklumkan akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini, bagi bertemu pimpinan parti itu untuk memohon maaf secara bersemuka susulan kesilapan menyiarkan grafik gambar babi dalam artikel berkaitan PAU yang diterbitkan baru-baru ini.

Memetik laporan portal berkenaan, pihak pengurusan sudah menghubungi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, kelmarin bagi menyampaikan permohonan maaf serta memaklumkan hasrat untuk bertemu sendiri pimpinan UMNO.

Selain itu, mereka turut menghubungi pejabat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam bagi tujuan sama.

Portal berkenaan menjelaskan, kesilapan itu amat dikesali dan pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden terbabit.

“Pihak kami memohon maaf atas beberapa kesilapan grafik yang dimuat naik di media sosial semalam, termasuk penggunaan tajuk laporan mengenai PAU pada imej yang tidak berkaitan, termasuk grafik isu ladang babi.

“Kelmarin, portal berita kami secara tidak sengaja menyiarkan tiga grafik di media sosial yang sepatutnya digunakan untuk laporan berbeza, menyebabkan teks, imej dan keterangan grafik tidak sepadan,” katanya.

Menurut laporan itu, dua daripada grafik berkenaan secara salah menggunakan tajuk artikel bahasa Melayu berkaitan PAU yang membincangkan platform UMNO menentukan hala tuju parti.

Satu daripada hantaran media sosial terbabit menggunakan tajuk berkaitan UMNO pada grafik gambar babi di sebuah ladang, sedangkan imej itu sebenarnya disediakan untuk laporan mengenai isu penternakan babi di Selangor, khususnya di Tanjung Sepat.

Grafik kedua pula menggunakan tajuk mengenai UMNO secara tidak tepat bagi artikel perkongsian pengalaman pegawai Kor Perkhidmatan Islam Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) berhubung istilah ‘parti yeye’.

Grafik ketiga yang turut mengandungi kesilapan menggunakan tajuk mengenai PAS yang mengkritik Presiden UMNO berhubung imej penasihat DAP, Lim Guan Eng, sedangkan grafik itu sebenarnya dimaksudkan untuk laporan berkaitan gesaan Guan Eng supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, campur tangan dalam kes pertuduhan rogol yang diringankan.

Portal berita berkenaan memaklumkan semua hantaran terbabit sudah diturunkan dan semakan dalaman sedang dijalankan bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang.

Semalam, Pemuda UMNO memberi tempoh 24 jam kepada portal berita berkenaan untuk hadir ke Dewan Merdeka, WTCKL bagi membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kesilapan menyiarkan grafik gambar babi dalam artikel berkaitan PAU.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, semalam, menegaskan pihaknya tidak mahu portal berkenaan sekadar menerbitkan permohonan maaf melalui laporan bertulis semata-mata.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top