Watak animasi kebanggaan Malaysia, Ejen Ali, mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang M7 (M7) menerusi kempen khas Cuti-Cuti MLBB Bersama Ejen Ali.
Kempen yang menjadi tumpuan utama di kejohanan berprestij itu, sekali gus membawa semangat Malaysia ke pentas e-sukan global.
Dicipta daripada imaginasi tempatan, kehadiran Ejen Ali bukan sahaja mencerminkan nilai keberanian dan kerjasama yang dekat dengan generasi muda Asia Tenggara, malah berperanan sebagai jambatan antara kandungan animasi tempatan dan komuniti e-sukan antarabangsa.
Kolaborasi berterusan antara penerbit animasi tempatan dan syarikat permainan video antarabangsa, MOONTON Games, membuka peluang lebih luas untuk kandungan kreatif Malaysia diketengahkan di peringkat dunia.
Bersempena cuti persekolahan dan kemeriahan M7, kempen ini menampilkan Ejen Ali dalam pelbagai aktivasi di sekitar Jakarta, termasuk sesi interaksi secara langsung bersama peminat serta komuniti permainan. Usaha itu memperlihatkan bagaimana kandungan hiburan mampu merentas sempadan dan mencipta detik budaya bermakna dalam landskap e-sukan kompetitif.
Ganjaran Eksklusif Untuk Pemain
Bukan itu sahaja, ganjaran eksklusif untuk pemain juga dibuka sehingga 16 Januari 2026 dimana pemain MLBB di Malaysia dan Indonesia berpeluang menuntut kandungan Ejen Ali edisi terhad menerusi aktiviti dalam permainan serta cabaran khas di TikTok.
Antara ganjaran ditawarkan termasuk emote eksklusif “Sedia!” dan “Satria, Bangkit!”, selain spawn effect istimewa yang diinspirasikan daripada gaya unik Ejen Ali di Land of Dawn.
Untuk rekod, Kejohanan Dunia M7 merupakan edisi ketujuh siri kejohanan M, menghimpunkan 22 pasukan terbaik dunia di Jakarta dari 3 hingga 25 Januari 2026, dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai USD1 juta.
Selain menobatkan juara dunia, M7 kini berkembang sebagai platform budaya yang menyatukan dunia permainan, hiburan dan identiti nasional. Kehadiran Ejen Ali mengukuhkan peranan kejohanan itu sebagai pentas meraikan wira serantau di peringkat global.
Orang ramai dan peminat MLBB dijemput menyertai kempen Cuti-Cuti MLBB Bersama Ejen Ali serta menuntut ganjaran eksklusif sebelum 16 Januari 2026. Untuk maklumat lanjut, ikuti saluran rasmi MLBB dan Ejen Ali di media sosial menggunakan tanda pagar #CutiCutiMLBB #MLBBxEjenAli #MobileLegendsBangBang #EjenAli




