1.6 juta graduan bekerja di bawah kelayakan, KPT perlu bertindak

1.6 juta graduan bekerja di bawah kelayakan, KPT perlu bertindak

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memperkukuh laluan pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan graduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bahawa kira-kira 1.6 juta graduan atau 32.2 peratus bekerja di bawah tahap kelayakan.

“Dapatkah pekerjaan yang sesuai? Berbaloikah belajar dekat UiTM ini? Mampukah kita membina kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga?

“Semua pertanyaan itu tidak salah, kerana ia berasas. Menurut DOSM terdapat graduan bekerja di bawah tahap kelayakan. Jadi saya menggesa, meminta, mengarahkan dan memerintahkan Menteri Pendidikan Tinggi untuk terus memperkukuhkan laluan daripada pendidikan kepada pekerjaan yang sepadan.

“Itu tanggungjawab anda (Zambry). Tidak mudah, tetapi saya yakin anda boleh melakukannya. Perlu ada kesepadanan kelulusan dengan bidang pekerjaan, apa lagi produk UiTM ini adalah graduan yang berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Semarak Patriotisme Seminar Ilmuwan Islam yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, padanan antara kelayakan dan bidang pekerjaan penting bagi memastikan ilmu yang dipelajari di universiti dapat diterjemahkan dalam kerjaya, terutama bagi melahirkan graduan berkualiti.

Beliau berkata, ijazah membuka pintu kepada peluang, manakala kompetensi membantu graduan mengubah peluang itu menjadi kejayaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa mahasiswa memperluas pembelajaran merentas disiplin bagi meningkatkan keupayaan menghadapi cabaran masa depan.

“Masalah masa hadapan tidak datang mengikut sempadan fakulti tetapi penyelesaiannya memerlukan kepakaran yang saling melengkapi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top