Kuala Lumpur: Pelakon, Sweet Qismina mengaku pernah berdepan dilema sama seperti Mia Sara Nasuha apabila sukar mengikis label pelakon kanak-kanak daripada dirinya.
Sweet menerusi hantaran Instagram Story (IGs) meluahkan simpati terhadap Mia dan berdoa agar Allah membuka pintu rezeki buat pelakon wanita itu.
“Itulah perasaan sama yang saya alami. Saya gambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkan semula kepercayaan orang ramai,” dedah Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 27, pada hantaran itu.
Sweey yang meraih trofi Aktres Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37 berharap orang ramai cuba menerima mereka yang masih ‘terperangkap’ sebagai pelakon kanak-kanak.
“Kami tidak dapat hendak ubah saiz dan wajah muda kanak-kanak. Tetapi, tanpa pengalaman dan peluang untuk melakonkan pelbagai watak, macam mana hendak buktikan peningkatan kami?
“Pengalaman mematangkan kita, bukan? Kalau boleh bagi rezeki kepada pelakon baharu dan bagi mereka belajar berlakon di set, apa salahnya buat yang sama pada mereka yang sudah berlakon sejak muda.
“Percaya dan beri peluang kepada yang sudah berlakon sejak kecil pula.. Mula semula dari kosong,” katanya.
Sweet yang membintangi filem Babah juga menasihatkan pelakon yang senasib dengannya belajarlah menjadi seperti resam padi.
“Jadi padi, belajar untuk jadi yang terbaik. Jangan rasa kita sudah berlakon dari kecil, kita sudah cukup masak… Tidak.
“Lakonan ketika dewasa tidak sama dengan waktu kanak-kanak. Saya sudah melaluinya, tidak senang. Sampai sekarang masih kena belajar.
“Selebihnya, berserah pada Allah. Saya merasai @therealmiasara sayang. Semoga Allah buka rezeki untuk awak dan lain-lain,” tulisnya.
Mia dilapor meluahkan kekesalan apabila masih dilabel sebagai pelakon cilik meskipun usianya sudah mencecah 21 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




