zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan kemalangan elektrik membabitkan orang awam di Jalan Abas, Kapar, hari ini bukan berlaku di pepasangan milik TNB.
TNB dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan berlaku di sebuah ‘Link Box 33kV’ milik pihak ketiga iaitu Worldwide Envirogreen Sdn Bhd.
Syarikat itu berkata, maklumat mengenai kejadian terbabit diterima kira-kira 10 pagi dan pasukan teknikal digerakkan ke lokasi.
“Kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti vandalisme. TNB akan memberikan sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan lanjut.
“Orang ramai dinasihati supaya tidak mengusik, membuka atau menghampiri pepasangan elektrik kerana tindakan sedemikian boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa,” katanya.
Media hari ini melaporkan seorang lelaki ditemukan maut akibat terkena renjatan elektrik disyaki ketika cuba mencuri kabel di Kapar.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mayat warganegara tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditemui orang awam sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




