zatuliffah@hmetro.com.my
Istanbul: Menyedari potensi besar fesyen Islamik di peringkat global, USANITA Sdn. Bhd (USANITA) kini giat meneroka peluang untuk mempromosikan fesyen sopan halal (HMF) di negara-negara Islam yang merangkumi hampir dua bilion penduduk dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Datuk Adzliana Hasan berkata, pasaran seperti Istanbul mempunyai potensi yang besar kerana umat Islam kini bukan sahaja memilih pakaian yang menutup aurat tetapi turut mementingkan ketelusan rantaian bekalan termasuk penggunaan bahan mentah yang halal serta amalan kerja beretika dan patuh syariah.
Beliau berkata, inisiatif HMF itu turut memanfaatkan momentum hubungan Malaysia–Türkiye yang diperkukuh melalui lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye minggu lalu
“Melalui kajian dan maklum balas yang kami terima, umat Islam di banyak negara kini mahu mendapatkan maklumat sama ada pakaian mereka diperbuat daripada bahan yang halal serta tidak membabitkan perkara-perkara yang ditegah Islam termasuk penindasan dan eksploitasi pekerja,’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Ahmad Amiri Abu Bakar hari ini.
Turut hadir Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Istanbul Sadat Foster Maad.
Adzliana berkata, unjuran industri menunjukkan perbelanjaan pengguna Muslim bagi kategori pakaian dan kasut sahaja bernilai AS$327 bilion (kira-kira RM889.4 bilion) pada 2023 dan ia dijangka meningkat kepada AS$433 bilion (kira-kira RM 1.17 trilion) menjelang 2028.
Katanya, jenama fesyen di bawah USANITA, Amber akan bekerjasama dengan rakan strategik di pelbagai negara Islam seperti Indonesia dan Turkiye untuk menjayakan inisiatif HMF di bawah program “Bridge to Brilliance” (BtB).
“Platform BtB sesuai untuk mempromosikan konsep HMF menerusi jaringan strategik yang telah dibina di Malaysia (BtB 1.0), Indonesia (BtB 2.0), United Kingdom (BtB 3.0), New Zealand/Australasia (BtB 4.0) dan Turkiye (BtB 5.0).
“Kita juga akan membantu rakan-rakan niaga di Malaysia dan negara-negara yang terbabit dengan inisiatif BtB untuk meneroka kerjasama dalam industri makanan dan produk halal seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal utama global.
“USANITA turut menggunakan platform BtB 5.0 untuk membantu mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui pelbagai aktiviti penggambaran dan fesyen yang kini sedang dijalankan membabitkan lebih 40 artis dan pasukan sokongan dari Malaysia yang dibawa ke Istanbul,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Amiri berkata, usahawan Malaysia seharusnya merebut peluang untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul terutamanya berkaitan fesyen, penginapan dan penyediaan makanan Malaysia.
“Kita menyambut baik inisiatif untuk meneroka peluang perniagaan di Istanbul dan yakin ia boleh dilaksanakan kerana hubungan baik antara pemimpin kedua-dua negara serta tanggapan positif rakyat Turkiye terhadap Malaysia,” katanya.
Pada 2024, Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).
Turkiye juga menjadi destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara-negara di Asia Barat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




