Malayan Tigress belasah Iraq 4-0

Malayan Tigress belasah Iraq 4-0

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Skuad remaja wanita Bawah 17 Tahun semakin menghampiri impian ke Piala Asia apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Kumpulan E Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 selepas membelasah Iraq 4-0, sebentar tadi.

Selepas membuka kempen dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Syria, skuad kendalian Takayoshi Ishihara tampil lebih garang untuk menguasai permainan dan menyudahkan peluang bagi menghasilkan kemenangan bergaya di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menguji pertahanan Iraq dan usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-19 apabila Aisyah Nur Iman menyambar sepakan sudut Nissriena Batrissya untuk membuka tirai jaringan.

Malaysia memperoleh gol kedua sebelum rehat apabila Qaseh Riana menyempurnakan hantaran tepat Lim You untuk membolehkan skuad negara menuju bilik persalinan dengan kelebihan 2-0.

Pada minit ke-58 Lim You menghasilkan penyudah menarik menerusi sepakan lambung yang gagal diselamatkan penjaga gol Iraq, Asmaa Shivan untuk meletakkan Malaysia selesa 3-0 di depan sebelum pemain gantian, Aisha Lynn melengkapkan kemenangan bergaya pada minit ke-88 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top